Buat FB Live dari luar negara, Khairuddin kunci mulut isu digugurkan - Utusan Malaysia

Buat FB Live dari luar negara, Khairuddin kunci mulut isu digugurkan

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Selepas 48 jam berita penyingkirannya daripada Majlis Syura Ulama, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali membuat kemunculan pertama secara langsung dalam Facebook miliknya, malam tadi.

Sesi yang bermula kira-kira pukul 11 malam itu dipercayai dibuat dari luar negara susulan latar belakang waktu siang dan bunyi angin kencng di samping gaya pemakaian Ahli Parlimen Kuala Nerus berkenaan yang berjaket.

Dalam video berdurasi 13 minit 52 saat itu, Mohd. Khairuddin bagaimanapun memilih untuk mengunci mulut soal pemecatannya sebagai Setiausaha badan tertinggi dalam Pas.

Katanya, apa yang berlaku merupakan isu dalaman, maka, perlu diselesaikan dengan kaedah parti sekali gus menyerahkan kepada kepemimpinan Pas untuk menguruskan perkara berkenaan.

Ini kali pertama saya bersiaran secara langsung setelah pelbagai isu berlaku dalam parti dan perjuangan. Ramai yang meminta ulasan termasuk media, namun saya masih mengambil sikap untuk kekal tidak menjawab atau mengulas. 

“Saya serahkan semuanya kepada parti, InsyaAllah. Saya istiqamah dengan perjuangan Pas dan sabar. Belum masanya saya memberi respon terhadap apa yang berlaku,” katanya dalam video berkenaan.

Kelmarin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan pengguguran Mohd. Khairuddin sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama susulan isu-isu disiplin melibatkan pemimpin itu.

Penyingkiran itu berlaku kira-kira sebulan selepas beliau ‘dibuang’ daripada jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas pada 12 Januari lalu.

Bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu turut bertekad untuk terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen sekali gus berharap rakyat di Kuala Nerus berpuas hati sepanjang sembilan tahun perkhidmatannya sejak Mei 2013.

Sementara itu, Mohd. Khairuddin berkata, pendekatan membisu hanya melibatkan isu pemecatannya sahaja, namun suaranya akan terus lantang dalam hal-hal berkaitan Islam dan dasar perjuangan Pas.

“Saya akan terus bercakap secara umum tentang akhlak Islam, dasar perjuangan dan idea yang dipersetujui parti. Sebagai contoh yang selalu saya perjuangkan ialah kesatuan umat,” katanya.

Sepanjang sesi secara langsung berkenaan, beliau turut menyentuh mengenai rundingan politik Melayu-Islam yang diterjemahkan menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO.

Bagaimanapun, sesi itu berakhir awal berikutan Mohd. Khairuddin kehabisan bateri dan berjanji akan menyambung semula kemudian. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya