KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengakui wujud kegiatan pembalakan dan penerokaan secara haram di beberapa kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini sejak kebelakangan ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, aktiviti tersebut, khususnya pembalakan haram bagaimanapun masih terkawal di Kelantan berbanding di negeri-negeri lain.
“Pembalakan haram itu berlaku di seluruh Malaysia. Ia dilakukan orang yang tidak bertanggungjawab. Cuma di Kelantan isu ini tidak serius.
“Pembalakan haram memang ada (di Kelantan), misalnya ada orang kampung hendak buat kebun, dia hendak tanam durian, kelapa sawit, jadi dia tebang pokok dalam hutan simpan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Jabatan Perhutanan mendedahkan kira-kira 20 hektar tanah di HSK Relai, Ladang Serasa, Gua Musang telah diteroka secara haram, sebelum ditanam dengan kelapa sawit sejak dua tahun lalu.
Lebih mengejutkan, kegiatan didalangi sindiket tempatan itu dikatakan berjaya menjual ladang kelapa sawit tanpa geran dengan harga semurah RM6,000 seekar atau RM14,400 sehektar kepada pembeli dari luar Kelantan.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, perkara didedahkan pihak Jabatan Perhutanan Kelantan itu dipandang serius dan kerajaan negeri akan memastikan dalang yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.
“Dari segi undang-undang memang salah menceroboh hutan simpan dan kita tidak akan bertolak ansur. Jika didapati ada buat salah, kita akan ambil tindakan tegas supaya tidak berulang,” katanya. -UTUSAN ONLINE