PADANG TERAP: Parti Warisan Sabah (Warisan) disifatkan sekadar mencuba nasib apabila mengambil keputusan untuk melebarkan sayapnya ke Semenanjung bermula semalam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, parti itu bagaimanapun tetap berhak berbuat demikian bersandarkan amalan demokrasi yang diamalkan di negara ini.
“Dalam sebuah negara demokrasi, semua orang ada hak menubuhkan apa jua parti dan mengembangkannya ke mana sekali pun. Saya fikir keputusan ini dibuat Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal untuk melebarkannya ke Sememanjung Malaysia.
“Dalam kata lain, mereka mencuba nasib. Semalam pun mereka umum bahawa parti itu akan bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan itu sudah tentu menjadi hak mereka untuk berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berakhir Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti, Kampung Padang Kerasak, Naka dekat sini hari ini.
Ketika melancarkan parti itu di Semenanjung Malaysia semalam, Mohd. Shafie berkata, keputusan Warisan untuk melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia adalah untuk menyediakan landasan supaya berlaku perubahan struktur dalam politik tanah air.
Selain itu menurut Mohd. Shafie, beliau juga mahu memberi fokus kepada penyatuan ummah tanpa mengira kaum dan agama.
Mengulas lanjut Mahdzir berkata, meskipun semua pihak berhak untuk menubuhkan parti dan melebarkan ‘sayapnya’, mereka juga perlu sedar akan tujuan utama dalam berpolitik.
“Mesti tahu naratif dan apa tujuan kita sebenarnya. Kalau sekadar hendak melawan pihak tertentu atas apa jua faktor tanpa ada pembelaan buat rakyat, itu tak betul.
“Apabila kita tubuhkan parti, sudah tentu kita berniat untuk menjadi kerajaan. Dan kerajaan yang kita sasarkan hendak bina itu, kena ada matlamat untuk bela rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE