KUCHING: Suruhanjaya Cobbold tidak boleh digunakan sebagai asas untuk penciptaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perjanjian itu didakwa tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.
Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan berkata, suruhanjaya berkenaan didapati palsu apabila keterangan dirakamkan menunjukkan hanya sebahagian kecil atau satu pertiga daripada rakyat Sarawak telah ditemuramah, satu pertiga tidak bersetuju manakala satu pertiga lagi belum membuat keputusan.
Beliau mendakwa, pembentukan negara ini telah melanggar Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1514 iaitu pengisytiharan oleh United Nations mengenai pemberian kemerdekaan kepada negara-negara penjajah.
“Hal ini kerana, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak sebagai koloni United Kingdom tidak pernah diberikan kemerdekaan United Kingdom sebelum ‘Malaysia’ muncul,” katanya semasa sidang media di firma guamannya di Saradise Kuching, hari ini.
Dalam manifesto PBK semalam, parti itu berusaha supaya mahkamah mengisytiharkan MA63 sebagai tidak sah dan dengan itu, Sarawak patut meninggalkan Persekutuan Malaysia.
Pengamal undang-undang itu berkata, ia dilakukan secara aman, menyorot langkah diambil Singapura dan membuka jalan kepada pengisytiharan unilateral kemerdekaan (UDI) oleh ‘Kerajaan PBK’.
Beliau akan bertanding di DUN Batu Lintang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, 18 Disember ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pembentukan negara ini juga melanggar Resolusi United Nations 1541 kerana Sabah dan Sarawak tidak pernah diberi peluang, dengan hak untuk memiliki kedaulatannya sendiri secara bebas dan status politik antarabangsa tanpa gangguan sebelum menjadi wilayah yang diperoleh dengan Persekutuan Tanah Melayu.
“Maka, amat mempersoalkan sama ada pembentukan Malaysia ini sah atau sesuai,” katanya.
Selain itu, kata Lee Shan, semangat rakan kongsi tidak pernah diamalkan selepas Persekutuan Malaysia ditubuhkan walhal ia pernah dinyatakan bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman di Parlimen, bahawa wilayah Borneo akan menjadi rakan kongsi status yang sama apabila menjadi sebahagian dari Malaysia.
Pun begitu, dakwanya, ia tidak pun disebutkan di dalam MA63 sebagai rakan kongsi status sama apabila Persekutuan Malaysia ditubuhkan. Malah, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan menurunkan status Sabah dan Sarawak ke dalam negeri-negeri ke-12 dan ke-13 dalam Persekutuan.
“Kebanyakan kerusi Parlimen dimiliki Persekutuan Tanah Melayu dan kerusi Parlimen gabungan Sabah dan Sarawak kurang daripada satu pertiga berbanding 222 kerusi Parlimen.
“Jika kedua-dua negeri ini dianggap sebagai rakan kongsi sama rata dengan Persekutuan Tanah Melayu, semua 222 kerusi Parlimen hendaklah diagihkan sama rata antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu,” katanya. -UTUSAN ONLINE