KUALA SELANGOR: UMNO Bahagian Tanjong Karang bakal mendirikan dewan untuk parti tersebut bersebelahan Institut Pengurusan Peladang (IPP) Sungai Kajang Tanjong Karang.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, dewan yang berharga RM2.5 juta itu dijadualkan siap dalam masa setahun.
“Semasa kita masih menjadi Kerajaan kita mempunyai kemudahan dewan untuk mengadakan perjumpaan parti.
“Namun setelah kita tidak lagi berkuasa kita terpaksa mengadakan perjumpaan di bawah khemah selama empat tahun ini,”katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Pecah Tanah Dewan UMNO Bahagian Tanjong Karang hari ini.
Terdahulu Noh melakukan gimik pelancaran dengan menggunakan jengkaut di tapak dewan terbabit.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, dewan berkeluasan 45 meter persegi X 125 meter persegi boleh memuatkan 500 orang pada sesuatu masa.
“Dengan adanya dewan ini juga akan bertambah satu lagi dewan di daerah ini termasuk Dewan Datuk Hormat dan Dewan IPP di sini.
“Dewan baharu ini kelak akan digunakan orang ramai untuk mengadakan program seperti kenduri kahwin dan lain-lain,”katanya. -UTUSAN ONLINE