BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO perlu diperluaskan lagi peranannya dalam menyatukan orang Melayu dengan membenarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu menjadi ahli secara terus ataupun bersekutu.
Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, apabila menyebut tentang penyatuan, ia bukan sahaja melibatkan parti-parti politik Melayu tetapi perlu turut melibatkan NGO-NGO Melayu.
“Kita harap UMNO terbuka dalam perkara ini, kita terbuka untuk membenarkan NGO-NGO Melayu sertai UMNO sebagai ahli secara terus ataupun bersekutu.
“Jika ini dapat dilaksanakan, barulah peranan UMNO menyatukan orang Melayu dan Islam dapat dilihat dengan jelas,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bera, Ismail Shafie dan Naib Ketua UMNO Bahagian Bera, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.
Ismail Sabri berkata, sebaliknya apa yang berlaku pada ketika ini, UMNO dilihat tidak mahu menerima pihak lain dan mahu bergerak secara berseorangan.
“Ini lari asas perjuangan UMNO yang menjadi payung kepada penyatuan rakyat bukan sahaja membabitkan orang Melayu malah seluruh kaum di negara ini,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, asas perjuangan UMNO adalah menyatukan umat Melayu dan Islam di negara ini.
Menurutnya, pada 1946, parti itu memainkan peranan menyatukan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang berpecah dengan mewujudkan UMNO.
“Akhirnya pada waktu itu Melayu menjadi kuat dan pihak Inggeris tidak mampu bertahan di negara kita. Syarat untuk Melayu kuat bersatu padu antara kita.
“Bukan itu sahaja, kita buka saja menjadi katalis untuk menyatukan Melayu, kita turut satukan kaum-kaum lain di mana diwujudkan Perikatan waktu itu.
“Sejarah ini tidak boleh dilupakan bagaimana peranan UMNO menjadi payung penyatuan rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE