LIPIS: UMNO Bahagian Lipis menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga selesai penggal atau sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.
Ketuanya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, UMNO Bahagian Lipis juga sebulat suara bersetuju Ismail Sabri dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15 nanti.
“Kita perlu beri peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob memimpin negara ini sehingga habis penggal ini kerana kita mahu buktikan kepada rakyat bahawa tiada pemimpin dari parti lain yang boleh mentadbir dengan baik selain pemimpin dari parti UMNO dan Barisan Nasional.
“Oleh sebab berkenaan, kita wajar memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri hari ini kerana karismanya hebat serta kejujuran untuk memulihkan negara selepas pandemik Covid-19 serta pemupukan perpaduan rakyat berbilang kaum yang menjadi asas kemakmuran negara serta kejayaan pelbagai bidang,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis di sini hari ini.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis itu turut menyatakan sebab tidak perlu mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal kerana pemimpin dan kerajaan memerlukan lebih masa untuk kembali membina keyakinan rakyat.
“Saya menyatakan hal ini kerana Bajet 2022 baharu sahaja diluluskan dan perlulah dizahirkan pelaksanaan pembangunan serta dibuktikan keterampilan pengurusan dalam kalangan pemimpin dan kerajaan kepada rakyat.
“Kita perlulah menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri merealisasikan kepimpinannya untuk berjaya dalam semua bidang pembangunan dengan meletakkan keutamaan kebajikan rakyat dalam tempoh fasa pemulihan pandemik Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE