Sokongan kepada kerajaan hanya sehingga PRU-15 - Utusan Malaysia

Sokongan kepada kerajaan hanya sehingga PRU-15

MOHAMED Khaled Nordin berucap pada Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Johor Jaya di Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: UMNO tetap menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun menegaskan ia hanya sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sokongan itu diberi kerana mahu kerajaan mengutamakan pemulihan negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, sekiranya UMNO tidak menyokong kerajaan sedia ada, ramai pihak termasuk masyarakat Melayu akan terkesan dan semakin terhimpit.

“Walaupun kerajaan hari ini dipimpin oleh seorang pemimpin UMNO, namun, ini bukan kerajaan UMNO. Sebaliknya ia hanya sebuah kerajaan yang mempunyai Perdana Menteri UMNO. Ia juga adalah kerajaan interim iaitu sebuah kerajaan yang terbentuk tanpa mendapat mandat daripada rakyat.

“Kita akan menyokong penuh Perdana Menteri dan juga Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) untuk kestabilan tetapi semuanya hanya bersifat sementara,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO bahagian itu berkata, UMNO akan bertanding dalam PRU-15 untuk kembali mendapatkan mandat daripada rakyat negara ini apabila tiba masanya kelak.

“UMNO tidak boleh membiarkan kerajaan Persekutuan dengan sokongan sedia ada untuk menguruskan Malaysia yang sudah tiga kali bertukar Perdana Menteri dalam tempoh hanya 43 bulan.

“Kita juga tidak boleh mempunyai pemikiran bergantung kepada parti lain untuk memerintah negara apatah lagi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau PH sebagai talian hayat dan nyawa simpanan.

“Budaya nyawa simpanan mesti dibuang, jangan sesekali meminta nyawa daripada orang lain dan kita sudah pastinya tidak akan memberikan nyawa kepada orang lain juga, khususnya mereka yang ditangan kanan ada nyiru untuk menadah simpati tapi di tangan kiri ada gunting untuk menikam kita sampai mati,” ujarnya.

Mohamed Khaled turut memberitahu, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, ada pemimpin UMNO meramalkan parti itu akan tewas selain mendesak supaya UMNO menerima kerjasama pelbagai pihak termasuk Bersatu.

“UMNO telah jelas membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan mereka yang merosakkan parti ini. Jika pemimpin UMNO sendiri tidak mempunyai keyakinan terhadap kemampuan UMNO, sukar untuk kita harap keyakinan dan sokongan orang Melayu secara umum,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya