Saifuddin sertai sesi luar biasa OIC bincang isu Afghanistan - Utusan Malaysia

Saifuddin sertai sesi luar biasa OIC bincang isu Afghanistan

SAIFUDDIN Abdullah (tengah depan) bergambar dengan komuniti Afghanistan di Malaysia pada pertemuan khas di UIAM, Gombak, Selangor kelmarin. – Foto ihsan Wisma Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bakal mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Sesi Luar Biasa Ke-17 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Pakistan esok.

Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, sesi Majlis Menteri Luar Negeri tersebut didahului dengan Mesyuarat Para Pegawai Kanan OIC di ibu kotanya, Islamabad sepanjang hari ini.

“Mesyuarat itu diadakan atas seruan Arab Saudi sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak Islam OIC untuk berbincang situasi kemanusiaan di Afghanistan,” kata kenyataan berkenaan.

Pakistan telah menawarkan diri menjadi tuan rumah bagi mesyuarat ini yang akan membincangkan langkah terbaharu dalam pengurangan kesan krisis kemanusiaan di Afghanistan bagi mencari mekanisme memastikan bantuan sewajarnya dapat diselaras dengan baik demi kepentingan lebih 40 juta rakyat negara Asia Tengah tersebut.

Satu kenyataan akhir bakal diterima pakai sebagai dokumen hasil mesyuarat itu, malahan Saifuddin dijangka menyampaikan pendirian negara ini sewaktu persidangan berlangsung.

Afghanistan dilanda konflik selepas Presiden Mohammad Ashraf Ghani melarikan diri ke negara jirannya, sekali gus menyaksikan Taliban mengambil alih kuasa pada 15 Ogos lepas, dengan penguasaan kumpulan itu mengulangi sejarah ia menawan Afghanistan pada 1996 ekoran krisis politik yang meletus sebelum negara tersebut diceroboh Amerika Syarikat pada 2001.

Namun, pengunduran mengejut tentera kuasa dunia itu disusuli pasukan bersenjata pelbagai negara Barat sejak 1 Mei lalu, melemahkan balik kerajaan awam tumbang kepada Taliban.

 Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Saifuddin akan mengenengahkan keazaman Malaysia membantu warga rentan Afghanistan menerusi misi kemanusiaan badan bukan kerajaan sekali gus mengesahkan sokongan Malaysia terhadap penyelesaian secara aman dan berkekalan demi kepentingan Afghanistan dan rakyat awamnya yang jelas tidak berdosa.

Menteri Luar itu turut dijadualkan mengadakan pertemuan rasmi dengan rakan sejawatannya dari Pakistan, Shah Mehmood Qureshi bagi membincangkan isu berkepentingan bersama selain membuat kunjungan hormat ke atas Presiden negara tersebut, Dr. Arif-ur-Rehman Alvi dan Perdana Menteri republik Islam berkenaan, Imran Ahmed Khan.

Kelazimannya, sesi luar biasa OIC diadakan apabila isu kepentingan ummah memerlukan tindakan segera dengan mempertimbangkan perkara mustahak melibatkan nasib umat Islam.

Sebagai antara anggota pengasas OIC pada 1969, Malaysia telah mengambil bahagian secara aktif dalam semua inisiatif badan 57 negara itu demi kemaslahatan warga Muslim sejagat. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya