KUCHING: Hadir ke pusat mengundi memakai pakaian suku kaum Bidayuh dengan gelang tembaga atau dikenali sebagai ‘ruyang’ di lengan menggamit perhatian ramai.
Itulah identiti Tawud Luhan, 75, digelar ‘Ring Lady’, antara tiga wanita Bidayuh terakhir memakai pakaian tradisi itu sejak kecil lagi.
Tawud, salah seorang pengundi di Skim Penempatan Semula Bengoh dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong tidak mahu terlepas peluang memilih calon wakil rakyatnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak hari ini.
Wanita berasal dari Kampung Semban di Ulu Padawan itu sudah mencalit dakwat pada jari telunjuk kanannya seawal pukul 8.14 pagi tadi lagi.
Selain memakai ruyang di lengan, wanita berkenaan turut memakai gelang tembaga dinamakan ‘rasung’ pada bahagian betis.
Aksesori berkenaan bukan sahaja sebagai simbolik status kejelitaan, malah pengiktirafan kepada pemakai yang dibenarkan menghadiri festival tertentu dan melaksanakan upacara tradisional komunitinya.
Selain Tawud, dua lagi wanita bernama Peluk Abeh, 69, dan Singai Nekan, 69, masih memakai pakaian tradisi nenek moyang mereka.
Seorang lagi ring lady, Rayu Daiee dilaporkan meninggal dunia di usia 83 tahun, tahun lepas dan disemadikan di tanah perkuburan Gereja Anglican BRS, di sini.
Di Mambong, menyaksikan siangan lima penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dr. Jerip Susil; calon dari DAP, Chan Hon Hiung; Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Chong Siew Hung; Parti Sarawak Bersatu (PSB), Sanjan Daik dan Parti Bumi Kenyalang (PBK), Joshua Roman. -UTUSAN ONLINE