Perbezaan pegangan politik wajar jadi wadah penyatuan - PM - Utusan Malaysia

Perbezaan pegangan politik wajar jadi wadah penyatuan – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia telah lama menjadi model kepada dunia kerana berjaya menyatukan semua kaum melalui perkongsian kuasa, namun, perbezaan pegangan politik kadangkala menjadi punca kepada perpecahan.

Menurut Perdana Menteri, politik sewajarnya menjadi wadah kepada penyatuan masyarakat kepelbagaian kaum yang selama ini berupaya kekal hidup dengan aman damai  melalui sikap toleransi tinggi.

Perdana Menteri menjelaskan, kepentingan peribadi dan pegangan politik akhirnya menerbitkan bibit-bibit permusuhan yang boleh membawa  kepada perpecahan dalam kalangan keluarga Malaysia. 

Beliau berkata lagi, perkara tersebut merupakan cabaran besar yang perlu dihadapi bukan sahaja para pemimpin, tetapi juga Keluarga Malaysia bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin.  

“Sekiranya negara berada dalam keadaan tidak stabil, maka  akan muncul pihak-pihak luar mahupun dalaman yang akan mengambil kesempatan dengan niat untuk terus menggugat  perpaduan yang telah sedia terjalin selama ini. 

“Lantaran itu sewaktu saya mengambil alih pentadbiran,  kerajaan mengambil langkah menandatangani Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik  pada 13 September lalu bagi membolehkan semua pihak  dalam Keluarga Malaysia tanpa mengira fahaman politik bersatu padu untuk bersama-sama berganding bahu menghadapi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam Kongres Perpaduan Negara secara maya hari ini anjuran bersama Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) dan Akademi Pengajian Islam Universiti  Malaya (APIUM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia  (Jakim).

Yang turut hadir Rektor Universiti al-Azhar al-Sharif merangkap Timbalan Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Kaherah (WOAG Cairo), Profesor Dr. Mohamed Husin al-Mahrasawy mewakili Sheikh al-Azhar al-Sharif, Prof. Dr. Ahmed Mohamed Ahmed el-Tayyeb.

 Ismail Sabri berkata, kerajaan berharap melalui kongres ini mampu menjadi satu platform terbaik bagi percambahan ilmu serta pemikiran yang merentasi agama, akademik dan kepakaran  bagi menilai semula aspek perpaduan di negara ini. 

Kata beliau, ia bagi mencari satu mekanisme terbaik bagi menangani isu isu perkauman dan perpaduan, sesuai dengan situasi semasa dan cabaran yang dihadapi kini. 

Beliau menjelaskan, gabungan dan jalinan yang erat antara ilmuan dengan pemimpin politik sangat diperlukan dalam merangka formula  terbaik bagi membolehkan suasana harmoni yang dikecapi  sebelum ini terus dapat dipertahankan hingga ke generasi  akan datang. 

“Pada masa sama, setiap Keluarga Malaysia juga perlu sentiasa hormat-menghormati dan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif terhadap  sesuatu kaum. 

“Elakkan punca yang boleh meruntuhkan perpaduan seperti  fitnah, khabar angin, buruk sangka, tapis dan selidiki  perkhabaran terlebih dahulu sebelum diterima dan  menghargai nilai perpaduan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN