PETALING JAYA: Semua perwakilan wanita, pemuda dan puteri UMNO bahagian di seluruh negara perlu menjadikan persidangan hari ini sebagai satu medan percambahan fikiran.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persidangan itu perlu dijadikan sebagai satu medan buah fikiran agar parti keramat UMNO terus menjadi tiang rakyat.
“Selamat bersidang kepada semua perwakilan wanita, pemuda dan puteri UMNO bahagian di seluruh negara.
“Jadikan persidangan ini sebagai satu medan buah fikiran agar parti keramat UMNO terus menjadi tiang rakyat.
“UMNO selamanya menjadi wadah rakyat yang memayungi kesejahteraan nusa dan bangsa. Bulatkan tekad demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air yang kita cintai,” kata Perdana Menteri itu dalam satu hantaran di Facebook ini.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) yang diadakan Rabu lalu memutuskan untuk mengadakan mesyuarat Perwakilan empat Peringkat UMNO iaitu Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri dan UMNO Bahagian pada 11, 12 dan 18 Disember ini di seluruh negara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, adalah diharapkan agar mesyuarat tersebut berjalan lancar dan SOP Covid-19 yang sewajarnya sentiasa dipatuhi.
“Lebih 20,000 Persidangan UMNO Cawangan telah pun selesai diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November lepas dengan jayanya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE