PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng komited untuk menjalinkan kerjasama dengan dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) susulan pelancaran peringkat nasional parti itu, semalam.
Beliau berkata, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan Warisan bukan sahaja di peringkat parti individu tetapi juga di peringkat gabungan Pakatan Harapan (PH) di bawah pendekatan khemah besar.
“Walaupun mungkin terdapat beberapa perbezaan yang tidak dapat dielakkan antara kita, kita bersatu dalam menentang tumpuan terhadap ekstremisme dan perkauman oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sekarang untuk menutup kegagalan dan tadbir urus mereka yang tidak cekap,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, media melaporkan, Warisan melebarkan sayapnya ke Semenanjung selepas melancarkan parti itu ke peringkat nasional di Pusat Konvensyen Sime Darby.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkat, beliau mahu memberi fokus pada penyatuan ummah tanpa mengira bangsa dan agama.
“Kita sediakan landasan ini supaya berlaku perubahan struktur dalam politik. Perlu ada peralihan daripada sistem politik berasaskan kaum dan agama kepada kepelbagaian kaum yang lebih inklusif di negara ini,” katanya.
Menurut Guan Eng, DAP memandang positif pelancaran Warisan secara nasional ke Semenanjung Malaysia sebagai sebahagian daripada proses pilihan raya bagi penyertaan bebas demokrasi dan integrasi wilayah Sabah dengan Semenanjung Malaysia yang lebih kukuh.
Katanya, pengembangan Warisan secara nasional sudah pasti mengakibatkan Warisan menerima pakai pendekatan menyeluruh Malaysia dan bukannya sekadar berpusatkan Sabah.
“Ini adalah positif ke arah integrasi nasional serta menggalakkan lebih banyak parti di peringkat nasional untuk menyertai DAP dalam memperjuangkan kepentingan Sabah.
“Parti-parti di peringkat nasional akan membantu mempromosikan Sabah dalam konteks nasional kerana masalah Sabah juga merupakan masalah Malaysia,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE