PUTRAJAYA: Keluarga Malaysia di negara ini perlu mengambil iktibar daripada sirah Nabi Ibrahim agar tidak terus putus harapan dalam memulihkan negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sebagai panduan agar diberikan keberkatan Allah SWT untuk terus memperkukuhkan institusi keluarga dan negara.
Kata beliau, kisah sejarah itu boleh dijadikan pengajaran untuk terus bergerak membina ayah, keluarga serta negara yang lebih baik untuk mengemudi dan menghadapi dunia.
“Kita tentu pernah mendengar kisah Nabi Ibrahim terpaksa meninggalkan isteri, Siti Hajar dan anak kecilnya, Ismail di bumi tandus. Namun atas kekuatan tauhid seorang suami kepada isterinya yang kemudian mendidik Ismail, akhirnya bumi gersang itu disirami keberkahan sehingga Makkah menjadi tanah suci yang dikunjungi berbondong-bondong manusia dari seluruh pelosok dunia.
“Dari lembah itu juga telah lahir pemimpin-pemimpin hebat dari keturunan Nabi Ibrahim untuk memimpin dunia,” katanya ketika berucap merasmikan program World #QuranConvention 2.0 secara maya hari ini dengan tajuk ‘Fatherless Homes’, Rumah Tanpa Ayah, #AdaBagaiTiada, #TiadaBagaiAda.
Menurut Ismail Sabri, terdapat 114 kali dialog antara seorang ayah dan anak disebut dalam al-Quran, dua kali antara seorang ibu dan anak, manakala terdapat sekali disebut sama ada ayah atau ibu.
Kata beliau, hal ini membuktikan betapa besarnya peranan ayah dalam membentuk institusi keluarga yang berteraskan al-Quran menjadi satu permulaan untuk mengukuhkan hubungan ahli keluarga menuju kebaikan untuk institusi keluarga itu sendiri, malah masyarakat dan negara.
Justeru, Perdana Menteri menyeru agar semua anggota masyarakat, terutamanya agensi berkaitan kekeluargaan, para ayah dan bakal ayah di dalam semua organisasi serta dari pelbagai institusi, mengambil manfaat daripada konvensyen berkenaan agar mendapat panduan benar dan jelas daripada isi al-Quran sehingga lahir Quranic Based Family sebagai model keluarga Muslim.
Kata beliau, para ayah perlu memainkan peranannya di rumah, bukan hanya aktif di tempat kerja atau di luar rumah.
“Menjadi ayah adalah sesuatu yang diimpikan oleh ramai orang namun, janganlah kita menjadi hanya ayah yang memberi duit tanpa memberikan pendidikan yang sebaiknya kepada anak-anak,” katanya. -UTUSAN ONLINE