PRN Melaka: Calon muda beri kesan sikap pengundi  - Utusan Malaysia

PRN Melaka: Calon muda beri kesan sikap pengundi 

Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keputusan Barisan Nasional (BN) menampilkan 86 peratus muka baharu dan 22 peratus calon dalam kalangan orang muda memberi kesan kepada sikap pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sebanyak empat kerusi yang ditandingi calon Pemuda UMNO dilihat mendapat penerimaan cukup positif daripada pengundi di kawasan berkenaan. 

Katanya, empat kerusi tersebut adalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang ditandingi oleh Datuk Rais Yasin, DUN Merlimau (Dr. Muhamad Akmal Saleh), DUN Duyong (Mohd. Noor Helmy Abdul Halim).

“Pengundi muda rata-rata merasakan pilihan yang diletakkan BN kali ini mengangkat aspirasi serta kehendak mereka selama ini dan inilah harapan yang mereka mahu lihat daripada Barisan Nasional (BN). 

“Melalui pengamatan pengundi cukup teruja dengan penampilan BN kali ini dengan idea segar, bertenaga, lebih sistematik, urus tadbir yang profesional, misi baharu, daya khidmat dan daya juang yang lebih tinggi serta mampu memenuhi ekspektasi khususnya pengundi muda dan mengisi agenda kemajuan serta kemakmuran negeri Melaka di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, komitmen BN menerusi manifesto yang dilihat realistik, banyak pembaharuan dan tidak hanya tertumpu kepada cara lama politik pembangunan semata-mata. 

“Saya berpendapat tema ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ yang merangkumi lima teras utama dan 103 inisiatif dalam akujanji BN merupakan satu landasan aspirasi baharu yang mudah difahami rakyat khususnya orang muda,” ujarnya. 

Selain itu, tambahnya, beliau percaya pengundi juga tidak mahu tersilap membuat pilihan selepas kegagalan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk gagal menunaikan hampir kesemua janji kepada pengundi muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Perbandingan dua kerajaan sudah ada, jadi pengundi sudah tahu menilai siapakah intan permata dan siapa yang cuma kaca,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembuburan DUN Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Melaka mempunyai 28 kawasan DUN dengan mempunyai seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus lagi wanita. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya