PRN bukan medan parti politik saling hentam - Utusan Malaysia

PRN bukan medan parti politik saling hentam

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak seharusnya dijadikan medan parti-parti politik bertanding untuk saling menghentam antara satu sama lain demi meraih undi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan sedemikian hanya mendatangkan kerugian ketika rakyat sudah mengetahui ‘track record’ parti bertanding.

“Saya fikir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pun ada nyatakan agar semua pihak elakkan daripada kempen kutuk-mengutuk atau keji-mengeji.

“Lagi pun rakyat dah tahu segala yang berlaku, dulu dan sekarang. Kes mahkamah atau apa sekali pun, semua orang tahu dan tak perlulah nak ‘tikam-tikam’ lagi kerana pengundi akan buat pertimbangan bersandarkan maklumat serta pengetahuan yang mereka ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Majlis Amanat Eksekutif Perundangan Perancangan Bersama Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan 2021 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, Pas tidak berdepan masalah untuk memperkenalkan calon-calon bertanding di sebalik rungutan parti-parti lain terhadap syarat ketat ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam PRN kali ini.

Menurutnya, penggunaan media sosial dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan kalangan calon diketengahkan sebaik mungkin kepada rakyat.

“Apabila tiada program terbuka, kita pun rasa selamat. Soal calon memanglah nombor satu namun, selain daripada itu, orang akan tengok parti juga.

“Prestasi parti-parti bertanding itu, semua orang dah tahu. Mereka tahu Pas, UMNO, PH serta Gerakan ini setakat mana kemampuannya dan saya fikir, itu akan jadi penentu juga kepada calon yang menang,” katanya.

Mengulas mengenai hubungan antara Pas dan UMNO, katanya ketika  segalanya masih berjalan seperti biasa.   

“Dalam Muafakat Nasional (MN) masih ada hubungan dan pada masa sama, Perikatan Nasional (PN) pula dah berdaftar dengan kita ada logo, pengerusi dan segalanya. Lagi pun di Melaka Pas dan UMNO tak bertembung sebaliknya, yang bertembung adalah PH, BN dan PN.

“Bagi saya, ini perkara biasa sebagai benda baharu dalam pola politik yang berubah. Diharap keadaan ini tidak menjejaskan muafakat lebih besar,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya