PN yakin pertembungan tidak gugat kerjasama UMNO di Persekutuan - Utusan Malaysia

PN yakin pertembungan tidak gugat kerjasama UMNO di Persekutuan

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa usaha telah dibuat bagi membolehkan kedua-dua pihak bergabung dalam PRN Melaka namun BN telah membuat keputusan bertanding secara bersendirian tanpa kerjasama parti lain. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Perikatan Nasional (PN) percaya kerjasama yang dibentuk dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat Kerajaan Persekutuan tidak akan tergugat walaupun kedua-dua pihak dijangka bertembung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan pada 20 November nanti.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa usaha telah dibuat bagi membolehkan kedua-dua pihak bergabung dalam PRN Melaka namun BN telah membuat keputusan bertanding secara bersendirian tanpa kerjasama parti lain. 

“Kami faham Kerajaan Persekutuan dibentuk oleh gabungan banyak parti. Walaupun ia bukan perkara biasa dilakukan tetapi ia tetap dibuat demi kebaikan dan kestabilan negara.

“Saya harap (pertembungan antara PN dan BN) ini tidak akan menimbulkan sebarang isu besar, malah kerajaan sekarang sanggup menandatangani memorandum persefahaman dalam kedudukan mereka.

“Saya fikir Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri) berharap dapat bekerja dengan baik dalam Kabinet yang datang daripada BN atau PN,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Calon PN untuk PRN Melaka dan Penyerahan Watikah Calon semalam.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu, pihaknya yakin rakyat Melaka mempunyai pengetahuan yang tajam situasi politik semasa dan akan memberikan sokongan paduan kepada PN.

“Terdapat tiga gabungan utama (bertembung pada PRN Melaka) tetapi saya percaya rakyat Melaka mempunyai pengetahuan yang sangat tajam tentang situasi politik dan kita telah melihat apa yang PN telah lakukan semasa saya menjadi perdana menteri.

“Walau apa pun keadaan, kami percaya kami mempunyai sokongan padu kepada PN di Melaka,” ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin yang ditanya adakah PN akan meminta semua calon menandatangani surat Akuan Bersumpah (SD) sebagai bukti mereka kekal setia kepada parti selepas memenangi pilihan raya kelak berkata, setakat ini mereka belum ada rancangan mengenainya.

“Setakat ini belum ada rancangan untuk SD dan sebagainya kerana kita yakin calon-calon ini cukup setia.

“Kita yakin pucuk pimpinan yang ada tahu siapa mereka (calon) dan kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi selepas selesai PRN ini,” ujarnya.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya