PETALING JAYA: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan yang didominasi parti itu akan menjunjung prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata, meskipun Pejuang berusaha untuk membawa orang Melayu ke tahap ekonomi yang hampir sama dengan orang bukan Melayu, namun, ia akan tetap mematuhi semua dasar liberal dan keistimewaan yang diberikan kepada orang bukan Melayu.
Katanya, parti itu juga akan menolak dan mengharamkan semua jenis salah guna kuasa dan rasuah oleh kerajaan.
“Pejuang akan mengamalkan tadbir urus yang baik dengan objektif menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2030 atau lebih awal.
“Ini ikrar kami. Menyokong Pejuang adalah menyokong Malaysia dan rakyat Malaysia.
“Ketika orang Melayu boleh berharap untuk mengejar, bangsa lain pula tidak akan kehilangan tempat dan peluang mereka,” katanya dalam catatan di blognya hari ini.
Dalam pada itu, Mahathir berkata, sejak merdeka, negara diperintah oleh kerajaan berbilang kaum dan orang Melayu menjadi tulang belakang kerajaan semata-mata kerana orang Melayu merupakan majoriti rakyat negara ini.
Namun, katanya, kerajaan yang dikuasai Melayu telah memberikan hak-hak tertentu kepada bukan Melayu oleh negara-negara berbilang kaum lain.
“Kaum-kaum lain dibenarkan untuk mengekalkan identiti mereka dengan negara asal mereka, bahasa dan budaya mereka, maka tiada keperluan untuk berasimilasi dengan orang Melayu asli dan bumiputera lain.
“Liberalisme Malaysia terhadap bukan Melayu tidak dapat ditandingi dalam apa jua cara dan konflik antara rakyat pelbagai etnik jarang berlaku.
“Malaysia jauh lebih stabil dan aman berbanding banyak negara berbilang kaum lain malah negara satu etnik di dunia,” katanya. -UTUSAN ONLINE