Malaysia-Singapura setuju akui TOR bagi penetapan sempadan laut - Utusan Malaysia

Malaysia-Singapura setuju akui TOR bagi penetapan sempadan laut

PULAU Batu Puteh yang Malaysia terlepas kedaulatannya kepada Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura bersetuju memperakui Terma-terma Rujukan (TOR) untuk Jawatankuasa Kecil Mengenai Had Persempadanan Maritim bagi kedua-dua negara.

Perkara tersebut antara dibincangkan Kementerian Luar Malaysia dan Singapura menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama Kesembilan yang diadakan secara maya kelmarin.

TOR itu bakal digunakan dalam penentuan sempadan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dirujuk Singapura sebagai Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge.

Menerusi kenyataan bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatan, Dr. Vivian Balakrishnan, kedua-dua negara turut akan bertemu sekali lagi pada tahun depan.

“Malaysia dan Singapura juga bersetuju agar mesyuarat jawatankuasa berkenaan untuk kali kesepuluh pada 2022 akan datang kelak dihoskan oleh negara ini,” kata kenyataan tersebut.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda pada 2008 menetapkan Batu Puteh sebagai hak milik Singapura manakala Batuan Tengah menjadi kedaulatan Malaysia.

Bagaimanapun, panel 16 hakim berkenaan menetapkan pemilikan Tubir Selatan bergantung kepada kedudukan sebenar batuan tersebut yang berada dalam perairan negara ia terletak.

Sejurus keputusan itu, Malaysia bertindak pantas membina Pangkalan Maritim Abu Bakar di Batuan Tengah bagi mengukuhkan tuntutan hak ke atas Tubir Selatan pada masa depan.

Mengulas lebih lanjut, kenyataan tersebut memaklumkan bahawa mesyuarat berkenaan juga bersetuju agar jawatankuasa kecil itu meneruskan kerja berdasarkan TOR yang ditetapkan.

“Malaysia dan Singapura masih berpendirian akan komited untuk menyelesaikan isu sempadan maritim antara pihak kedua-dua negara yang berjiran itu,” tambah kenyataan berkenaan.

Mesyuarat tersebut ujarnya, malah meneruskan perbincangan mengenai usaha pelaksanaan keputusan mahkamah dunia berkenaan terhadap status hak ketiga-tiga batuan berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakib mewakili Malaysia manakala Singapura diwakili Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Chee Wee Kiong.

Isu Pulau Batu Puteh mula timbul apabila Malaysia menerbitkan peta rasmi negara yang memasukkan batuan tersebut sebagai kedaulatannya pada 1979 sebelum dibantah republik itu.

Pada 1993, Singapura pula bertindak balas menuntut Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang terletak bersebelahan dengan Pulau Batu Puteh juga sebagai hak milik negara berkenaan.

Pertikaian tuntutan bertindih itu seterusnya dibawa kepada pihak ICJ pada 2003 lalu dengan pendengaran kes tersebut bermula pada 2007 sebelum diputuskan setahun kemudiannya.

Malaysia berpeluang mengemukakan rayuan sebelum tempoh akhir pada 2018 namun bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak mengugurkan tuntutan berkenaan.

Tindakan tanpa sebarang alasan munasabah itu mencetuskan kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai perbuatan ‘gadai’ kedaulatan wilayah negeri tersebut.

Akhir Oktober lalu, Kabinet bersetuju membentuk Pasukan Petugas Khas bagi menilai semula isu ini dan mengenakan tindakan perundangan ke atas individu melepaskan tuntutan itu. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya