Kenapa Ramasamy melatah tindakan Kerajaan Kedah banteras judi, arak? - Utusan Malaysia

Kenapa Ramasamy melatah tindakan Kerajaan Kedah banteras judi, arak?

Aminuddin Yahya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Cadangan Kerajaan Negeri Kedah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri, tidak menafikan hak penganut agama lain untuk melakukan aktiviti itu.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata, semua pihak tidak seharusnya cepat melatah atas inisiatif kerajaan negeri itu sebagai langkah ke arah masyarakat sejahtera tanpa judi dan arak.

Bagaimanapun, beliau amat pelik dengan tindakan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang (DAP), P. Ramasamy yang melabelkan langkah itu membabitkan isu agama iaitu menafikan hak agama lain.

“Ini satu penghinaan kepada agama-agama lain kerana berjudi dan minum arak bukan tuntutan mana-mana agama pun. Agama manakah yang mengesyorkan berjudi dan minum arak yang ternyata membawa kerosakan?

“Malah, baru-baru ini juga, Persatuan Hindu Pulau Pinang menyokong larangan penjualan arak di Kuala Lumpur.  Mereka juga menyatakan arak merosakkan institusi keluarga dan masyarakat. Pendirian ini pun tidak asing di negara-negara luar pun, hatta di negara-negara kafir Barat sekali pun. 

“Jadi, mengapa Ramasamy terlalu cepat melatah seolah-olah mahu mengapi-apikan antara Islam dan bukan Islam?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, keputusan tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan mengehadkan aktiviti penjualan arak dibuat menerusi mesyuarat Exco minggu lalu bagi mengelak mudarat yang lebih banyak kepada penduduk.

Aminuddin pada masa sama berharap Kerajaan Negeri Kedah benar-benar melaksanakan perkara itu dan tidak hanya sebagai berita sementara waktu sahaja atau sebagai gimik politik.

Katanya, langkah itu sewajarnya disokong semua pihak dan diikuti negeri-negeri lain ke arah masyarakat yang sihat dan sejahtera. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya