KUALA TERENGGANU: Kewujudan ramai ‘jururunding’ dalam Pas berhubung isu Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dibimbangi mampu membawa mudarat termasuk menjual nama parti untuk kepentingan peribadi.
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara itu perlu dielakkan sekali gus menyerahkan sepenuhnya mandat berkenaan kepada nakhoda, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menentukan hala tuju parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Pas tidak memerlukan ramai untuk bercakap tentang hala tuju parti, berapa ramai nakhoda dalam parti? Ini isunya.
“Pemuda bukan mahu mengkuduskan atau memaksumkan mana-mana institusi, tetapi, kita sedang berlayar dalam lautan yang bergelombang, jadi serahkan kepercayaan kepada nakhoda kerana beliau boleh nampak di mana ikan jerung, lautan dan taufan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan sempena Muktamar Pas Ke-67 di Duyung Marina & Resort di sini hari ini.
Ahmad Fadhli berkata, Pemuda akan sentiasa berdiri teguh dengan keputusan dan pendirian diambil Presiden yang mewakili institusi Presiden. -UTUSAN ONLINE