Guna logo berasingan pada PRN Sarawak tiada kaitan dengan kekalahan di Melaka - Utusan Malaysia

Guna logo berasingan pada PRN Sarawak tiada kaitan dengan kekalahan di Melaka

ANTHONY Loke Siew Fook (dua dari kanan) menyampaikan bantuan banjir kepada salah seorang penduduk yang terjejas pada majlis di Balai Raya Kampung Sungai Jai, Lenggeng, Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk setiap parti komponennya menggunakan logo masing-masing di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tiada kena mengena dengan keputusan yang tidak memihak PH pada PRN Melaka baru-baru ini.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sama ada PH menang ataupun tidak pada PRN Melaka lalu, PH Sarawak sememangnya sudah dijangka akan membuat keputusan sedemikian berbanding menggunakan logo PH bagi menghadapi PRN Sarawak.

Jelas beliau, tidak timbul isu parti dalam komponen PH sudah lagi tidak yakin dengan logo PH sendiri sebaliknya keputusan itu mengambil kira juga kuasa autonomi yang diberikan kepada PH di Sarawak dan Sabah selain keadaan politik yang perlu dihadapi di Sarawak.

“Memang dasar kami berikan kuasa autonomi kepada kepemimpinan parti di Sarawak untuk membuat keputusan, kalau mereka buat keputusan tersebut, kami hormati. Itu keputusan bersama mereka di peringkat Sarawak dan umum mengetahui mereka ada autonomi daripada segi dasar dan keputusan politik mereka.

“Keputusan di Sarawak itu sebenarnya tidak ada kena mengena dengan keputusan PRN Melaka, di Melaka sama ada kami kalah atau menang, Sarawak tetap guna logo parti masing-masing. Kalau lihat sejarahnya dalam pilihan raya yang lalu juga mereka gunakan logo masing-masing walaupun di Semenanjung kita buat logo bersama,” katanya.

Siew Fook yang merupakan Ahli Parlimen Seremban berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan banjir kepada penduduk yang terjejas di Balai Raya Kampung Sungai Jai, Lenggeng di sini hari ini.

Semalam PH Sarawak memutuskan bahawa setiap parti komponennya akan menggunakan logo masing-masing di setiap kerusi DUN yang ditandingi pada PRN Sarawak di mana hari pengundian bakal diadakan pada 18 Disember depan.

Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen, pihaknya turut memutuskan untuk setiap parti komponennya iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) menentukan calon di kerusi masing-masing yang sudah pun diagihkan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya