PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Kit Siang sukar percaya bahawa Malaysia bukan sahaja tewas dengan Indonesia dan Filipina, malah, kalah dengan India dan China dari segi jumlah kes dan kematian harian Covid-19.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, negara ini merekodkan lantunan semula kes jangkitan dan kematian akibat wabak selama dua hari berturut-turut yang menyaksikan 5,403 kes dan 78 kematian semalam berbanding dengan 4,343 kes dan 35 kematian kelmarin.
Walhal, katanya, Indonesia mencatatkan 434 kes baharu Covid-19 (26 hari berturut mencatatkan kes dalam purata tiga angka) dan 21 kematian manakala Filipina pula mencatatkan 1,407 kes baharu dan 46 kematian akibat pandemik itu.
Beliau menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelas punca prestasi negara yang begitu buruk ketika beberapa negara luar telah merekodkan kes lebih rendah di peringkat ASEAN dan Benua Asia.
“Apa yang lebih mengejutkan adalah India, yang mempunyai 43 kali ganda lebih ramai penduduk berbanding Malaysia, mencatatkan prestasi lebih baik dengan 4,502 kes baharu dan 64 kematian akibat Covid-19 semalam.
“China pula yang kini berada di tempat ke-113 dari segi kes terkumpul di seluruh dunia, berbanding kedudukan Malaysia di tempat ke-20, mencatatkan hanya 62 kes baharu dengan sifar kematian akibat Covid-19 semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dakwa Kit Siang, Khairy telah gagal menamatkan gelombang ketiga Covid-19 yang berlarutan selama 14 bulan dan menjadi penularan terpanjang di dunia sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tahun lepas, sekalipun Khairy berjaya menamatkan peningkatan mendadak kes baharu dan kematian di negara ini.
“Rakyat Malaysia kini menanggung bala daripada konspirasi Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020, kerana saya percaya, walaupun ada kekurangannya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memastikan kadar kes dan kematian akibat Covid-19 ini rendah.
“Inilah harga konspirasi Langkah Sheraton yang ditanggung kita semua dengan jumlah kes yang mungkin berada di bawah paras setengah juta dan kematian di bawah 3,000 kes di bawah pentadbiran Pakatan Harapan,” katanya. -UTUSAN ONLINE