MELAKA: Bekas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob hari ini tampil mendedahkan penjelasan di sebalik dakwaan, benarkah bekas Ketua Menteri, Adly Zahari merupakan boneka kepada DAP?
Mohd. Khalil berkata, beliau menafikan Adly hanyalah boneka semasa mentadbir negeri ini selama 22 bulan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), malah turut memuji Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka itu sebagai pemimpin yang pragmatik dan praktikal.
Beliau turut mengakui, ketika masih berkhidmat sebagai Tuan Yang Terutama (TYT), dirinya amat mengagumi Adly, namun tidak boleh campur tangan ketika tercetusnya peralihan kerajaan negeri pada Mac 2020.
“Kalau nak tahu sama ada dia boneka atau tidak, jawabnya tak ada. Dia seorang pragmatik, kena tukar perkataan itu. Seorang pragmatik, yang mengamalkan practicality dalam apa-apa yang dia lakukan. For that, secara diam-diam saya sebagai governer saya admire dia, tapi saya tak boleh campur tangan.
“Politik di belakang saudara Adly dan kali ini dia memimpin satu parti, organisasi. Yang saya rasa boleh membantu dia lah. Kenapa ada ayat yang mengatakan dia ini boneka kepada DAP? Being pragmatik dan praktikal, dia kenal DAP ini satu blok yang besar.
“Very unique di Malaysia ini, di mana saya pun tahu daripada dulu lagi very united. Dan dia sebagai Ketua Menteri, atau pun masa itu political leadership, political leader lah kita kata. Dia mesti survey di mana terdapat sokongan-sokongan yang kuat daripada jumlah pengamal yang ramai.
“Maka dengan itu, saya rasalah dia mesti berbaik dengan DAP. tak ada salahnya kerana seorang ketua, seorang pemimpin memerlukan sokongan. Kalau DAP ramai dan mereka berikrar menyokong dia, saya rasa tak ada salahnya. Di mana bonekanism? Mana ada, tidak ada,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu klip video berdurasi 3 minit 33 saat yang dimuat naik di laman sosial Facebook, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Terdahulu, tular di media sosial gambar Mohd. Khalil makan tengah hari bersama Mohamad dipercayai bertempat di Balai Nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. -UTUSAN ONLINE