IPOH: Cadangan melantik Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan meninggalkan kesan yang amat besar kepada kemuliaan dan ketinggian Parlimen sebagai badan perundangan negara.
Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ini kerana Ahmad telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 pada 21 Januari tahun lalu.
Menurutnya, sepatutnya Ahmad perlu melalui proses undang-undang dan tidak diberikan kedudukan dan peranan yang sedemikian penting di Parlimen.
“Selain itu, di dalam Parlimen yang ada sekarang masih ramai calon lain yang
sesuai untuk jawatan berkenaan.
“Melantik seorang yang masih terpalit dengan ‘kluster mahkamah’ pastinya akan menjadikan Parlimen bahan jenaka di dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Aziz mengingatkan UMNO agar tidak ghairah memberi imbuhan’ kepada pimpinan mereka dengan jawatan dalam kerajaan.
Menurutnya, ini secara bersahaja dan sengaja membelakangkan bukan sahaja kepentingan rakyat malah mengabaikan teguran dan pesanan raja-raja Melayu yang mahukan kerajaan baharu ini bersih dari mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa.
“Ini menunjukkan bahawa pentadbiran yang diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang tidak serius dan tidak komited kepada reformasi institusi yang dilaungkan.
“Melihat kepada cadangan ini nampaknya reformasi yang dilaungkan itu hanyalah retorik politik dan sekadar meneruskan budaya pimpinan kerajaan sebelumnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE