'Terima kasih semua' - Utusan Malaysia

‘Terima kasih semua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada para frontliners yang terus bertungkus-lumus memerangi pandemik Covid-19.

Beliau turut berterima kasih kepada semua penjawat awam yang memberi kerjasama sepenuhnya dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan berharap segala dasar yang baik untuk rakyat dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak industri, para pekerja, pertubuhan bukan kerajaan, pimpinan masyarakat dan semua pihak yang membantu Kerajaan PN menyampaikan khidmat kepada rakyat.

“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan Jemaah Menteri yang berkorban masa dan tenaga bersama saya selama ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada pengurusan tertinggi Kerajaan Persekutuan termasuk Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara dan lain-lain pegawai yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu. Anda semua banyak membantu saya menjalankan tugas dan amanah mengurus negara di waktu pandemik ini,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin dalam nada sebak mengucapkan terima kasih paling istimewa tentunya buat isteri dan keluarga yang menjadi sumber inspirasi sejak dahulu hingga ke hari ini.

Pada masa sama, beliau menghargai kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pimpinan tertinggi PN dari parti Pas, STAR, SAPP dan Gerakan, pimpinan Gabungan Parti Sarawak, pimpinan MCA dan MIC serta sebahagian ahli Parlimen UMNO yang terus memberikan sokongan kepadanya hingga ke saat akhir.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih atas sokongan saudara dan saudari sekalian. Saya akan terus berbakti kepada anda serta sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anda semua.

“Kekal bertenang. Mudah-mudahan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Muhyiddin mengakhiri perutusan terakhir beliau sebagai Perdana Menteri dengan mengajak rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan untuk seluruh tanah air ini.

Dalam doa tersebut, beliau mendoakan agar penyakit Covid-19 lenyap dari muka bumi ini.

“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Engkau kurniakanlah kerahmatan kepada kami, Engkau lindungilah keselamatan dan keamanan negara kami, Engkau peliharalah kesihatan dan kesejahteraan hidup kami. Engkau lenyapkanlah penyakit Coronavirus dari muka bumi-Mu ini, Ya Allah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya