SEREMBAN: Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan sebagai tanggungjawab besar yang perlu dipikul khususnya bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di Wilayah Persekutuan.
Mengakui pelantikannya itu sebagai cabaran baharu dalam karier politiknya, Jalaluddin memberitahu akan menggunakan segala pengalamannya termasuk sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri dan Pengerusi UDA Holdings Bhd. dalam menjalankan tugas baharunya itu.
“Saya zahirkan rasa syukur, bagaimanapun, ini bukan satu anugerah, tapi tanggungjawab yang besar untuk saya mendukung aspirasi Perdana Menteri dan nasional bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terutamanya bagi kawasan bandar dan wilayah untuk terus diperjuang dan dijaga dengan baik.
“Segala pengalaman yang saya ada, tentunya saya faham sedikit sebanyak dan menjiwai apa-apa perkara yang perlu saya berikan keutamaan terutamanya bagi golongan B40 dan M40. Isu kebersihan bandar terutamanya kerana Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mestilah menjadi antara pusat yang jadi tumpuan dunia dan negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan senarai penuh barisan Kabinet di bawah pimpinannya.
Beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu lalu di Istana Negara.
Sementara itu, Jalaluddin menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda atas pelantikan beliau bagi membantu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
“Tidak tertinggal penghargaan dan terima kasih saya kepada Perdana Menteri, Presiden, Timbalan Presiden UMNO dan kepemimpinan tertinggi UMNO yang telah memberikan sokongan kepada saya,” katanya. -UTUSAN ONLINE