JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Pasir Pelangi, di sini hari ini.
Pertemuan tersebut dikongsikan menerusi satu kenyataan ringkas dalam laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim hari ini.
“Ismail Sabri tiba di Istana Pasir Pelangi kira-kira pukul 10.45 pagi dan pertemuan bersama Baginda Tuanku Sultan Ibrahim berlangsung selama lebih sejam,” jelas kenyataan itu.
Pertemuan tersebut difahamkan adalah pertemuan pertama Timbalan Perdana Menteri yang baharu itu setelah secara rasmi menduduki jawatan tersebut, baru-baru ini.
Semalam, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas tamat perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Sementara itu, difahamkan Ismail Sabri turut mengadakan mesyuarat tertutup dengan Biro Politik UMNO Johor di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Beliau dilihat memasuki pekarangan kediaman berkenaan pada pukul 2.15 petang sebelum meninggalkan kediaman itu kira-kira dua jam kemudian.
Selain Hasni, mesyuarat itu turut dihadiri pemimpin UMNO Johor antaranya Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Setiausaha Kerja UMNO Johor, Pandak Ahmad.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut berhubung mesyuarat tersebut diperoleh setakat ini selain kenderaan membawa Ismail Sabri juga terus melewati wakil media yang berada di pintu masuk kediaman rasmi Menteri Besar. -UTUSAN ONLINE