Calon PM ganti Muhyiddin perlu daripada PH - Utusan Malaysia

Calon PM ganti Muhyiddin perlu daripada PH

ANWAR Ibrahim menyerahkan sumbangan pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan dan Ayam Segar di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pendirian Pakatan Harapan (PH) ketika ini adalah untuk mengemukakan calon Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini dikatakan hilang majoriti.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, calon daripada PH itu kerana gabungan tersebut kini membentuk blok terbesar di Dewan Rakyat.

“PH punya pendirian adalah untuk mengemukakan calon PH kerana kita jadi blok yang terbesar, tidak berbangkit soal memberikan sokongan kepada calon-calon lain,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan dan Ayam Segar di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson di sini hari ini.

Utusan Malaysia menerusi berita muka depannya hari ini melaporkan sebilangan ahli Parlimen PKR dan DAP dipercayai ‘akan menyelamatkan’ majoriti tipis kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usul undi percaya di Parlimen, September ini.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, ia dikatakan kejutan terbesar yang disebut-sebut berdasarkan faktor ada dalam kalangan ahli Parlimen dua parti terbabit cenderung berpihak kepada PN.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Majlis Presiden PH hari ini yang menjemput semua ahli Parlimen yang menolak Muhyiddin untuk bersama menyokong beliau sebagai calon Perdana Menteri, Anwar berkata, kenyataan itu sebagai mengelak berlakunya kekeliruan.

“Itu pendirian supaya satu calon daripada PH, itu mengelakkan kekeliruan kerana ada khabar angin kononnya ada rundingan untuk menjual (nama) orang lain.

“Setakat Majlis Presiden yang diputuskan, ini pendirian kita, tetapi, ini tidak mengelakkan kita bekerjasama dengan semua pihak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Presiden PKR tersebut menjelaskan sesiapa yang memimpin negara ini haruslah mengambil kira suasana politik hari ini yang memerlukan semua pihak supaya ada kerajaan yang stabil dan dasar yang jelas.

“Tidak seperti yang ada sekarang, tetapi, sekarang sudah menjadi sejarah kerana terbukti Tan Sri Muhyiddin sudah hilang majoriti.

“Kalau diikutkan dan kalau beliau faham Perlembagaan Persekutuan, faham demokrasi dan taat kepada institusi diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong, beliau harus meletakkan jawatan,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN