PADANG TERAP: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyarankan pemimpin politik tidak mengambil kesempatan ‘menangguk di air keruh’ di sebalik krisis yang berlaku antara kerajaan dan institusi diraja pada masa ini.
Beliau berkata, semua pihak tidak sepatutnya membiarkan krisis tersebut berlarutan dan perlu menggembleng tenaga dan usaha dengan penuh komitmen bersama kakitangan kerajaan serta barisan hadapan.
“Mana-mana pihak tidak wajar mengambil kesempatan atas situasi ini dan cuba menangguk di air keruh serta membiarkan krisis ini berpanjangan.
“Sepatutnya, kita dah tau apa yang berlaku, kita buat sesuatu yang boleh menjadikan keadaan lebih baik dan tumpukan kepada urusan berkaitan pandemik Covid-19 dan permasalahan ekonomi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Pejabat Daerah Padang Terap di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md. Shuhaime Abd. Rahman.
Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan mengenai pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.
Berikutan itu, timbul desakan beberapa pihak agar Perdana Menteri meletak jawatan, bagaimanapun Pejabat Perdana Menteri menjelaskan, semua tindakan yang dilaksanakan kerajaan adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, kesemua Ahli Parlimen UMNO masih setia kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain itu, kesemua Ahli Parlimen BN juga akur dan menjunjung kasih akan titah Yang di-Pertuan Agong dalam apa jua situasi yang berlaku di negara.
“Kita akur dengan titah Tuanku kerana ia adalah asas kepada perjuangan UMNO yang turut terkandung dalam Perlembagaan UMNO iaitu parti menjunjung institusi diraja,” katanya. -UTUSAN ONLINE