ALOR SETAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuktikan beliau masih memiliki keabsahan untuk terus kekal menjadi Perdana Menteri dengan mengemukakan usul undi percaya dalam Sidang Dewan Rakyat, Isnin depan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, Muhyiddin perlu berani mengusulkan perkara tersebut berikutan desakan banyak pihak yang menuntutnya berundur.
Malah, katanya, secara teknikalnya beliau merasakan Muhyiddin sudah kehilangan sokongan berikutan tuntutan UMNO menerusi Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan supaya jawatan Perdana Menteri itu dilepaskan secara terhormat.
“Setelah apa yang berlaku, Muhyiddin perlu mengambil langkah sama seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi lakukan semasa mula-mula mengambil jawatan dari Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu iaitu dengan mengemukakan usul percaya di Dewan Rakyat.
“Berikutan berlaku pertembungan yang ‘melukakan’ Yang di-Pertuan Agong, saya tak fikir Muhyiddin wajar untuk terus kekal menjadi Perdana Menteri.
“Jika beliau tak mahu lepaskan jawatan, beliau perlu membuktikan yang dirinya benar-benar memiliki keabsahan untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membawa seorang individu, Zakaria Jab yang berusia 100 tahun bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Pokok Sena di sini hari ini.
Ditanya sama ada pembangkang akan mengusulkan undi tidak percaya sekiranya Muhyiddin tidak mengusulkan undi percaya, Mahfuz berkata, perkara itu akan dibincangkan secara bersama setelah menilai situasi selepas ini.
“Kita tengok nanti bagaimana keadaannya. Jika Muhyiddin sudah membawa usul undi percaya, jadi tak perlulah kita bawa usul undi tidak percaya lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE