Asas kestabilan politik jangka panjang Malaysia - Utusan Malaysia

Asas kestabilan politik jangka panjang Malaysia

MOHD. NOOR YAZID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Politik Malaysia melalui fasa yang berubah daripada sebelumnya mulai Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008. Selepas PRU-12, kita menghadapi satu perkembangan baharu dalam politik negara, iaitu darjah kestabilan politik yang lebih rendah daripada sebelumnya. PRU-12  menjelaskan kedudukan yang lemah oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dengan hanya mendapat 140 daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi. Peningkatan besar pembangkang dengan 82 kerusi. 

Kelemahan BN ini dikaitkan dengan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada masa PRU itu berlangsung. Ekoran itu membawa kepada peralihan pimpinan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mulai 2009 dengan satu harapan besar bahawa kedudukan kerajaan BN dan kerusi Parlimen akan meningkat kepada satu kedudukan lebih baik. 

Apa yang berlaku adalah sebaliknya iaitu kerusi Parlimen BN terus menurun kepada angka lebih kecil iaitu hanya 133 daripada 222  keseluruhan. Kedudukan pembangkang bertambah kukuh kepada angka 89. Apa yang jelas berlaku adalah perubahan besar kemenangan kerusi Parlimen kawasan majoriti kaum Cina. Sebahagian besar kawasan Parlimen majoriti Cina dimenangi oleh calon DAP atau PKR kaum Cina. Calon BN sama ada daripada MCA atau Gerakan mengalami kekalahan  sangat teruk. Majoriti yang dimenangi oleh calon DAP dan PKR kaum Cina adalah sangat besar. 

Kedudukan 89 kerusi Parlimen dalam PRU-13 pada 2013 adalah satu tamparan besar kepada BN terutama calon-calon bukan Melayu (khususnya calon MCA) dan satu kejayaan besar bagi pembangkang, khususnya calon DAP. DAP telah mendapat sokongan kuat daripada sebahagian besar pengundi kaum Cina. Semangat dan sokongan kaum Cina kepada BN seakan satu perubahan besar dan cabaran baharu kerajaan dan kestabilan negara. Sedikit perubahan sokongan pengundi Melayu akan memberikan kejayaan kepada pihak pembangkang. 

Kerajaan BN akan menjadi kuat dan pulih semula apabila sokongan pengundi Cina berubah kepada BN melalui parti-parti yang mewakili kaum Cina (khususnya MCA yang mendapat sokongan kaum Cina sebelum ini). Usaha dilakukan oleh pentadbiran Najib bagi menarik sokongan kaum Cina kepada BN.

Dasar 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib semasa awal pentadbirannya dilihat sebagai dasar liberal yang berusaha menarik sokongan kaum Cina kepada kerajaan BN. Dasar 1Malaysia pada tahap awal seakan mempunyai pertentangan dengan apa yang digariskan dalam Perkara 153 Perlembagaan, iaitu kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak sebagaimana diperuntukkan (prinsip-prinsip asal 1Malaysia itu berlaku perubahan apabila ada pihak  menegur). Meletakkan kedudukan yang sama rata pada semua penduduk untuk menarik sokongan bukan Melayu kepada kerajaan bukan jalan dan kaedah berkesan bagi menarik sokongan dan mengukuhkan kerajaan BN. 

Pimpinan Najib gagal menarik sokongan bukan Melayu bahkan pimpinannya telah menyebabkan berlakunya pemecahan undi Melayu kepada beberapa kumpulan yang memberikan kesan bertambah buruk kepada kedudukan BN dan orang Melayu serta politik Malaysia secara keseluruhannya. Orang Melayu telah berpecah kepada beberapa kumpulan yang memberikan kesan buruk kepada kekuatan politik Melayu dan perlindungan hak-hak serta keistimewaan mereka. 

Bermula daripada apa yang berlaku dalam perhimpunan agung UMNO pada Disember 2015 akibat perselisihan pendapat antara presiden dan timbalan presiden pada masa itu telah memecah belahkan pengundi Melayu. Pertembungan dan perselisihan ini diperkukuhkan lagi dengan masalah dan tekanan hidup rakyat akibat dasar kerajaan pada masa itu. Ketidakpercayaan rakyat kepada kerajaan BN serta harapan kepada gabungan politik baharu, iaitu Pakatan Harapan (PH) telah mengubah keputusan PRU-14 pada 2018 dengan kekalahan kali pertama kerajaan BN. PH berkuasa menguasai negara.

Apakah asas falsafah utama kerajaan PH? Siapa yang menguasai dan mendominasi kerajaan baharu ini? Adakah asasnya sama dengan kerajaan sebelum ini? Adakah ia berjalan benar-benar selaras dengan asas peruntukan Perlembagaan? Adakah kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai kerajaan benar-benar berkuasa seperti perdana menteri sebelum ini? Kenapa ia hanya dapat bertahan selama 22 bulan?

BELENGGU

Semua persoalan yang saya kemukakan di atas perlu difahami bagi menjelaskan kedudukan politik negara yang sedang berlaku sekarang dan struktur politik dan kerajaan yang bakal dibentuk. Bukan sahaja bagi parti politik menguasai negara tetapi bagi kestabilan negara secara keseluruhannya. Supaya negara kita dapat keluar daripada ‘belenggu’ yang sedang berlaku sekarang dan mengorak kepada membina langkah baharu yang lebih stabil khususnya dalam jangka panjang.

Sejauh manakah falsafah PH meletakkan falsafah tersirat Perlembagaan negara dan negara bangsa berasaskan one state, one nation yang meletakkan kumpulan dominan orang Melayu sebagai inti dan Perkara 153 Perlembagaan sebagai teras dan asas benar-benar diamalkan dan berlaku? Antara perkara yang membawa kepada perselisihan dalaman pada hujung Februari 2020 yang akhirnya membawa kepada runtuhnya kerajaan PH adalah berkisar kepada persoalan ini. Sebahagian besar orang Melayu yang masih mempunyai ‘roh Melayu’ dalam jiwanya tidak boleh menerima apabila perjuangan dan kedudukan bangsanya ‘diragut.’ Akibat daripada itu, sebuah kerajaan baharu berasaskan kepada perpaduan parti-parti politik Melayu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)-UMNO-Pas dan parti-parti lain di Sabah dan Sarawak bekerjasama membentuk sebuah kerajaan baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Roh kesedaran yang terbina pada 1 Mac 2020 ini mesti disedari sepenuhnya. Perpaduan utama parti-parti Melayu bumiputera ini perlu dipertahankan dan diperkukuhkan bagi menjamin kestabilan politik. Parti-parti politik Melayu dan parti-parti politik bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti menjadi teras dalam politik. Perpecahan parti-parti politik Melayu bumiputera akan membawa kepada ketidakstabilan, bukan sahaja kepada orang Melayu bumiputera tetapi kepada negara keseluruhannya.

Parti-parti politik bukan Melayu mesti bekerjasama dengan parti-parti dominan orang Melayu yang mempertahankan hak-hak Melayu. Parti-parti politik Melayu mesti meletakkan asas perjuangannya menjaga dan melindungi hak-hak dan keistimewaan Melayu bumiputera Sabah dan Sarawak seperti yang digariskan dalam perkara 153 Perlembagaan. Tidak ada pihak yang boleh mempertikaikan Perkara 153 ini. Parti-parti Melayu yang berkuasa sama ada kuat atau lemah kedudukannya mesti menarik sokongan orang Melayu dengan melindungi hak-hak dan keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Parti-parti politik ini akan mendapat sokongan orang Melayu. 

Ini terbukti semasa pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein mulai awal 1970-an. Parti-parti Melayu seperti UMNO atau Bersatu mesti kembali kepada asas ini jika mahu mendapat sokongan pengundi Melayu. Persoalan seperti pemberian biasiswa (selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia) kepada orang Melayu yang termaktub dalam Perlembangan Persekutuan perlu dilaksanakan. Begitu juga dengan public education facilities serta kuota perjawatan awam kepada orang Melayu dan bumiputera  Sabah dan Sarawak. Apa yang digariskan dalam Perkara 153 itu adalah falsafah besar yang tersirat dalam one state, one nation dalam jangka panjang. Begitu jugalah dengan tafsiran ‘Melayu’ dalam Perkara 160 perlu diterjemah dan dilaksana dengan tepat mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Politik negara akan stabil dan terjamin kestabilannya bila parti-parti politik Melayu bumiputera menjadi kuat. Jika parti-parti politik Melayu berpecah-belah, maka kekuatannya diragui dan lebih memungkin kepada ketidakstabilan. Parti-parti politik bukan Melayu akan bersama-sama dengan politik Melayu bumiputera dalam keadaan politik Melayu kuat dan kukuh (bukan bersaing, mencari ruang dan berusaha menjadi kuasa politik utama). Jika politik Melayu lemah, tafsiran dan anggapan silap parti-parti bukan Melayu akan berlaku. Kestabilan akan lebih terjamin apabila parti-parti politik Melayu bersatu dan bekerjasama dengan parti-parti politik bukan Melayu yang ‘liberal’ dan mendukung sepenuhnya prinsip Perlembagaan Persekutuan. 

Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN