35 ahli Parlimen UMNO tarik sokongan kepada PM atau tidak? - Utusan Malaysia

35 ahli Parlimen UMNO tarik sokongan kepada PM atau tidak?

MAHATHIR
SHAHRIR ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli UMNO di semua peringkat sedang memerhati perkembangan serta keputusan sama ada menteri dan timbalan menterinya yang berada dalam Kabinet akan menarik diri atau kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, ini termasuklah 35 Ahli Parlimen UMNO yang masih belum diketahui sama ada mereka akan terus menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau sebaliknya.

Menurut beliau, persoalan itu timbul selepas pertemuan yang diadakan di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur, barU-baru ini.

“Ikut cerita, betul atau tak betul belum diketahui, 35 Ahli Parlimen ingin bersama Tan Sri Mahiadin (Muhyiddin) dalam kerajaan PN, iaitu yang menteri atau timbalan menteri mereka semua ingin berada dalam kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Ini selepas pertemuan di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur. Kata mereka, itu kerana mereka patuh kepada usul Perhimpunan Agung UMNO Malaysia 2020 pada akhir Februari tahun ini,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook miliknya.

Difahamkan, Ahli Parlimen UMNO yang mengadakan pertemuan di banglo di Jalan Bellamy itu bersetuju mempertahankan resolusi yang diputuskan dalam PAU 2020 yang diadakan baru-baru ini.

Shahrir yang juga Veteran UMNO memberitahu, menteri dan timbalan menteri UMNO yang masih berada dalam kerajaan PN berkemungkinan dipercayai Perdana Menteri begitu juga sebaliknya.

“Jadi, bagi mereka, apa ada hal dengan Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Perdana Menteri dan jemaah menteri lebih besar punca kuasa daripada MT UMNO. Akhirnya, engkau YB, ke aku YB? Aku menteri, engkau ada apa?,” tulisnya lagi.

Tambah beliau, kira-kira seminggu selepas Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, menteri-menteri UMNO telah menawarkan peletakan jawatan mereka semua kepada Perdana Menteri dan kerajaan PN.

“Ada yang juga sudah tandatangan surat letak jawatan tanpa tunggu keputusan MT malah tidak berbincang pun dengan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO.

“Itu ialah tafsiran mereka terhadap usul Perhimpunan Agung UMNO 2020, tawarkan peletakan jawatan menteri dan timbalan menteri mereka kepada Tan Sri Mahiadin selaku Perdana Menteri. Tawaran mereka itu ditolak Tan Sri Mahiadin. Mereka sepakat untuk kekal dalam jawatan masing-masing,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN