Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN dan ROSHIHAN ANNUAR YUB
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini tiba-tiba berdiam diri kerana sebelum ini sering menyerangnya.
Kata Anwar, hanya beberapa minggu ini sahaja Dr. Mahathir ‘menyepi’ dan tidak menghentamnya, dan beranggapan mungkin Ahli Parlimen Langkawi itu sudah mengambil vaksin Covid-19.
“Saya selalunya selama ini, dua minggu ini saja dia tak serang saya. Saya pun hairan sebab apa. Mungkin dia ambil vaksin kot?
“Dua minggu ini dia tak serang, kalau tak tiap-tiap minggu ada saja Anwar begitu, Anwar begini. Jadi saya tak perlu jawab. Sebab apa? Sebab kita nak tumpu kerja dan masa depan,” katanya kepada Mingguan Malaysia dalam wawancara baru-baru ini.
Anwar berkata, meskipun kerap diserang, beliau tidak berdendam dengan Dr. Mahathir malah menyifatkan negarawan itu sebagai seorang yang banyak jasa kepada negara.