ARAU: UMNO atau Barisan Nasional (BN) akan menghadapi masalah besar termasuk berdepan risiko tewas jika memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) secara bersendirian yang hanya bakal memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) apabila berlaku pertembungan tiga penjuru.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar (gambar) berkata, di dalam politik era baharu, dominasi sesuatu parti politik itu sudah berakhir dengan parti-parti terbabit perlu bekerjasama untuk mencapai kemenangan di dalam pilihan raya.
Katanya, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diakui UMNO atau BN memang merupakan parti cukup dominan namun sejak peralihan kuasa pada pilihan raya tersebut, sudah tidak ada lagi parti yang dominan melainkan perlu bekerjasama bagi membentuk kerajaan.
“UMNO perlu berjiwa besar jika hendak bentuk kerajaan selepas PRU-15 dengan perlu bekerjasama sama ada dengan PN atau PH. UMNO tetap akan mempunyai kelebihan besar jika bekerjasama dengan salah satu daripada gabungan tersebut.
“Namun, kalau UMNO bergerak bersendirian, saya jangka susah untuk UMNO berjuang khususnya dalam suasana politik sekarang. Era parti politik dominan sudah berakhir jika mahu menang perlu bergabung,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan, Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepakat menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.
Keputusan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada UMNO mampu menang jika bertanding sendiri tanpa gabungan daripada parti Melayu lain seperti Bersatu pada pilihan raya tersebut.
Pas pula dikatakan meletakkan syarat supaya menerima Bersatu sekiranya UMNO ingin bergabung dengan parti Islam itu.
Dengan keputusan MT UMNO yang hanya perlu diluluskan dalam Perhimpunan Agungnya nanti, ia menunjukkan pertembungan melebihi dua penjuru mungkin berlaku sekali gus meletakkan UMNO dalam risiko.
Tambah Rusdi, menurut beberapa kajian yang dilakukan sebelum ini, jika berlaku kerjasama BN dan PN melawan PH dalam PRU-15, akan memberi kelebihan cukup besar kepada gabungan tersebut termasuk boleh mencapai kemenangan dengan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.
Bagaimanapun katanya, jika berlaku pertembungan tiga penjuru membabitkan BN, PN dan PH, kelebihan adalah kepada PH dan mampu membentuk kerajaan.
“Kajian-kajian tersebut telah memberi gambaran apa yang berkemungkinan berlaku dalam PRU-15 dan UMNO perlu bekerjasama dengan mana-mana parti politik sekali pun bagi memberi kelebihan kepada mereka.
“Jika dilihat gabungan UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) sudah cukup kuat tapi dalam suasana sekarang Pas mustahil akan meninggalkan PN. UMNO perlu fikir masak-masak jika berhajat bergerak sendirian dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN