KUALA LUMPUR: PKR akan lebih berhati-hati memilih calon bagi pilihan raya akan datang kerana tidak mahu ada lagi pembelot yang mengkhianati parti dengan melompat ke parti lain.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pengalaman 10 orang ahli parti keluar tidak lama dahulu benar-benar mengajar PKR untuk lebih berwaspada dan teliti.
“Semasa PRU-14 (pilihan raya umum ke-14), kita sudah ada usaha dengan mengenakan bon kepada semua calon, tetapi akibat daripada langkah Sheraton, 10 orang ahli PKR keluar parti dan dikenakan tindakan.
“Tetapi pada kali ini, PKR khususnya sedang melakukan proses yang lebih rapi untuk elak mereka yang tidak diingini menyelusup masuk menjadi calon dan akhirnya menjadi pembelot. Oleh itu, proses saringan akan dibuat dengan lebih ketat,” katanya.
Tindakan keluar parti oleh 10 ahli itu juga menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan diambil alih Perikatan Nasional (PN).
Fahmi memberitahu, PKR kini sudah memulakan proses saringan dalam menentukan calon untuk bertanding pada PRU-15.
“Buat masa ini belum ada keputusan, tapi proses dah mula awal, jadi dari segi proses biasa dalam parti, calon memang akan mula dikenal pasti, tetapi bukan senarai pendek. Perbincangan sama ada calon yang bersesuaian dengan aspek-aspek yang diingini pengundi mula dibincang.
“Ia bergantung kepada demografi dan sejarah tempat tersebut. Kalau dulu ditandingi satu parti dan kemudian dibincang serta diputuskan PKR bertanding di situ, maka kita akan kenal pasti dengan memilih calon,” katanya. – UTUSAN