KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak bimbang jika tidak memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, penyertaan parti itu di dalam Perikatan Nasional (PN) bukan atas kapasiti sebagai parti bergerak secara bebas sebaliknya bersama-sama memastikan kemenangan gabungan berkenaan dalam pilihan raya.
Bagaimanapun, katanya, Gerakan tetap bersedia pada bila-bila masa jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membubarkan Parlimen bagi pilihan raya umum.
“Memang kita ada calon. Tetapi soal siapa calon dan kerusi mana yang akan dipertandingkan itu belum masa yang sesuai untuk dibincangkan sebab prioriti Gerakan adalah melawan wabak Covid-19.
“Gerakan langsung tidak khuatir mengenai perebutan kerusi asalkan PN menang malah akan memastikan jentera parti dari segi cawangan, bahagian di setiap negeri sentiasa bersedia.
“Pada masa ini, Gerakan membantu menerangkan agenda PN kepada rakyat selain terus menguatkan struktur parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pendirian Gerakan dalam berdepan PRU-15 akan datang jika ada ruang untuk parti itu menjadi wakil rakyat semula di kawasan yang akan dipertandingkan. – UTUSAN