UMNO akan luput selepas PRU-15 jika salah pilih pakatan -

UMNO akan luput selepas PRU-15 jika salah pilih pakatan

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tidak akan mampu bertahan, malah kemungkinan akan terus luput jika tersalah pilihan pakatan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, demi untuk kelangsungan, parti itu perlu memastikan orang Melayu terus bersatu padu.

Katanya, tidak ada cara lain untuk melihat penyatuan Me­layu melainkan melalui gabu­ngan UMNO, Pas dan Bersatu.

“Pada saya mudah saja, UMNO akan survive sekiranya orang Melayu bersatu padu. UMNO itu parti orang Melayu. UMNO itu wujud dan tumbuh kuat kerana orang Melayu itu bersatu,” katanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia.

Annuar berkata, bermula dengan gabungan UMNO-Pas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), telah berjaya menarik minat Bersatu dan sebahagian daripada PKR untuk menyertainya dan membentuk Perikatan Nasional.

“Dua kuasa itu (UMNO-Pas) digabungkan di bawah penyatuan orang Melayu yang saya kira sejak merdeka itulah penyatuan terbesar orang Melayu – UMNO, Pas, Bersatu dan sebahagian daripada PKR.

“Mereka bergabung membentuk kerajaan PN dan itu satu gabungan paling kuat dan digeruni musuh-musuh politik yang lain.

“Jadi, kalau tanya pada saya, UMNO akan terus kuat kalau UMNO dapat berperanan menya­tupadukan orang Melayu.

“Apabila kita bergabung, tentulah ada perbezaan pendapat. Cabaran kepada pe­mimpin Melayu adalah menguruskan perbezaan tersebut dan bukannya ancam mengancam,’’ katanya.

Namun, kata Ahli Parlimen Ketereh itu, kalau UMNO sahaja yang mufarakah dalam permuafakatan yang besar ini, UMNO akan luput dalam PRU akan datang.

Katanya, walaupun ada teori UMNO boleh gabung dengan DAP dan PKR, namun untuk survival ia bukan hanya bergantung dengan siapa yang ia bergabung tetapi juga bergantung kepada apa yang diperjuangkan.

“Kita mungkin ada angka jika bergabung dengan DAP, tetapi dasar DAP itu berbeza. Kalau pergi ke sana (bergabung de­ngan DAP, PKR), walaupun dapat angka pada peringkat awal tetapi akan berpecah juga se­perti berlaku pada PH.

“Bila sudah berjaya, DAP sudah tentu mahu laksanakan kuasa dan ideologinya yang akhirnya akan berpecah. Kenapa hendak ulang kesilapan PH? Pada saya itu cari nahas.

“Kita perlu duduk berun­ding cari jalan dan perlu ada tolak ansur, tidak mungkin satu parti boleh jadi supreme, boleh jadi big brother dalam keadaan sekarang. Tetapi politik ta’awun dan ta’ayus. Ta’awun saling bekerjasama, ta’ayus kewujudan bersama.

“Nak wujud bersama mestilah ada titik persamaan. Tak boleh letak kucing dan harimau dalam satu kandang, tetapi kita tahu Bersatu, UMNO dan Pas mempunyai dasar yang hampir sama dan No DAP, No Anwar.

“Semua parti ini menjunjung konsep penyatuan Melayu de­ngan memperjuangkan Melayu dan Islam. Titik persamaan le­bih besar daripada perbezaan,” katanya. -MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya