Lanjut pengecualian sewa, lesen penjaja - Utusan Malaysia

Lanjut pengecualian sewa, lesen penjaja

OH Tong Keong (tengah) bersama-sama beberapa pemimpin Gerakan ketika turun padang bertemu golongan peniaga di Pasar Bayan Baru, Georgetown, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Gerakan negeri merayu Kerajaan Negeri Pulau Pinang melanjutkan pengecualian sewa gerai dan bayaran lesen penjaja di negeri ini selama enam bulan lagi.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, ini kerana majoriti golongan itu berdepan kerugian besar akibat pandemik Covid-19 yang sehingga kini belum berakhir.

Dalam masa sama, beliau berharap kerajaan negeri mengkaji semula pakej bantuan yang disalurkan kepada golongan berkenaan sebelum ini memandangkan majoriti mereka masih terkesan dengan pandemik itu sehingga kini.

Katanya, masalah harian yang dihadapi penjaja itu sama dengan golongan daripada industri lain yang mana mereka juga perlu membayar pinjaman kereta dan rumah selain menanggung kos-kos lain.

“Malah, ada kalangan ahli keluarga mereka kehilangan pekerjaan susulan beberapa kilang di Pulau Pinang yang gulung tikar akibat kesan pandemik ini. 

“Kita juga dimaklumkan terdapat penjaja kehabisan wang simpanan mereka dan kini meminjam duit dari pihak ketiga untuk meneruskan kehidupan,” katanya selepas turun padang bertemu peniaga-peniaga di Pasar Bayan Baru, di sini semalam.

Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat menggesa kerajaan negeri memberi rebat cukai pintu kepada semua penduduk negeri ini selain tidak menaikkan kadar cukai tanah untuk tahun depan.

“Difahamkan, kerajaan negeri belum membuat keputusan mengenai dua perkara ini. Kita berharap perkara ini dipandang serius kerana memberi impak besar kepada penduduk yang terjejas akibat penularan wabak ketika ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya