Cadangan bawa pembangkang ke dalam kerajaan tindakan ke belakang Muhyiddin

Cadangan bawa pembangkang ke dalam kerajaan tindakan ke belakang Muhyiddin

RAZLAN RAFII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membawa pakatan pembangkang ke dalam kerajaan disifatkan sebagai langkah ke belakang kerana Pakatan Harapan (PH) lebih banyak membawa kemusnahan ekonomi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii berkata, mempelawa pembangkang menunjukkan kebaikan serta kemurnian hati, namun ia perlu dilakukan selepas berfikir panjang tanpa sewenang-wenang menggunakan perkataan ‘demi rakyat’.

Katanya, perkataan “demi rakyat” semata-mata mahu menunjukkan keutamaan kepada rakyat, boleh menjurus kepada “membelakangkan rakyat”

“Perikatan Nasional (PN) seharusnya mengurangkan jurang permainan politik dan terus fokus kepada kerja untuk selesaikan permasalahan Ekonomi dan Covid19.

“Ahli Kabinet serta kumpulan Ahli Parlimen Kerajaan sudah cukup bagi membantu kerajaan Tan Sri Muhyddin mentadbir tanpa ada input dari pembangkang, terdapat lebihan Ahli Parlimen Pas, UMNO, GPS dan lain-lain, boleh sahaja digunakan di dalam perancangan Kerajaan.

“Maaf cakap, yang ada sekarang di dalam kerajaan pun sudah berselirat dan punyai banyak pandangan, jadi, sudah-sudahlah Kerajaan Tan Sri Muhyddin ini bermain politik, sila lah fokus kepada masalah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, langkah membawa PH ke dalam kerajaan adalah langkah kebelakang kerajaan PN kerana ketika PH memerintah ekonomi tidak bergerak, projek banyak dibatal.

“Kalau nak sambungpun perlu jumpa Menteri Kewangan, banyak rasuah berjalan sehingga tak sempat SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) nak siasat. Negara luar tak yakin dengan Malaysia kerana tender-tender besar dibatalkan oleh Kerajaan PH. Ahli Kerajaan PH pada ketika itu mentakbir negara dengan perasaan membalas dendam.

“Tan Sri Muhyiddin sepatutnya sudah sedar bahawa semasa beliau dan rakan-rakan lain di PH, banyak perkara berkaitan Ekonomi dan rakyat tidak diutamakan, malah PH terus membawa cadangan yang tidak boleh digunakan untuk memajukan negara,” katanya.

Katanya, formula PH sebelum ini nyata gagal dan membelakangkan rakyat hingga membawa negara kepada kemusnahan struktur ekonomi.

“Saya bukan mahu jadi penentang kepada Kerajaan PN, namun apa yang cuba dicadangkan oleh Perdana Menteri adalah satu malapetaka kepada negara sekali lagi, ia lebih menjurus kepada permainan politik daripada perbincangan.

“Sudah cukuplah 22 bulan kita merasai kehidupan yang perit, rakyat dibuang kerja, pelabur asing bawa dana keluar dari Malaysia, petani dan nelayan ditindas.

“Sekiranya Tan Sri Muhyddin berkeras mahu membawa PH ke dalam kerajaan semula, seeloknya dipulangkan semula jawatan Perdana Menteri itu kepada DYMM Yang Dipertuan Agong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN