UMNO, BN berhak semak kedudukan dalam Perikatan Nasional - Utusan Malaysia

UMNO, BN berhak semak kedudukan dalam Perikatan Nasional

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhak menyemak kedudukan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN)  dari semasa ke semasa.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, melalui semakan itu, tidak mustahil kerajaan PN itu boleh diperkasakan lagi menerusi muafakat yang lebih tersusun dan lebih bersefahaman.

Bagaimanapun, katanya, segala tindakan yang akan dibuat memerlukan kebijaksanaan dan perlu didahulukan demi kepentingan rakyat. 

“Mungkin ada asas tertentu yang menyebabkan UMNO mahu mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan PN. Kita perlu stabilkan politik negara. 

“Kita juga perlu perkuatkan perpaduan Melayu iaitu asas kestabilan politik negara. UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama-sama bertanggungjawab mewujudkan perpaduan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kestabilan politik negara perlu diutamakan dan tumpuan adalah menyelamatkan nyawa rakyat dan mengekang pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi negara, meringankan beban hidup rakyat serta menjadikan Malaysia sebuah negara berjaya.

Maka, beliau menjelaskan, adalah tidak salah untuk UMNO, Bersatu dan Pas kembali ke ‘drawing board’ politik agar dapat melakar sesuatu yang lebih baik untuk negara.

“Untuk itu kita perlu tenang, banyak berfikir dan bijak bertindak. Jangan biarkan emosi mendorong kita untuk tidak memikirkan keburukan yang boleh menimpa rakyat dan negara,” katanya.

Semalam, UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan politik PN dan parti itu akan memberi syarat baharu kepada PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sebulat suara turut mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) agar MN didaftar dengan segera sebagai gabungan politik yang sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN