IPOH: Tindakan UMNO yang sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) tidak sepatutnya berlaku.
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, dalam situasi politik negara tidak menentu, tindakan UMNO itu seolah-olah cuba menangguk di air yang keruh.
“Perubahan politik bukan sahaja memberi kesan terhadap kerajaan negeri tetapi juga merencatkan pentadbiran negara.
“Paling terkesan adalah rakyat, suka atau tidak, isu ini perlu ditamatkan segera,” ujarnya pada sidang akhbar di pejabat Putra negeri Perak di Sunway City di sini hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu bahawa UMNO membuat pertimbangan menarik diri daripada menyokong PN dan akan memberi syarat baharu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi parti yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, Hamidah bertegas bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuktikan beliau mendapat sokongan untuk terus mengetuai kerajaan.
Menurutnya, jika tidak pergolakan politik yang sedang berlaku ini semakin sukar dibendung.
Katanya, sebab itu pilihan untuk melantik Perdana Menteri interim perlu dipertimbangkan sebagai jalan penyelesaian bagi mengendurkan ketidaktentuan politik disebabkan kerajaan sedia ada tidak memiliki jumlah majoriti meyakinkan.
“Secara peribadi, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) merupakan tokoh paling sesuai dan berpengalaman.
“Walaupun beliau merupakan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO tetapi Ku Li tidak memegang jawatan utama dalam parti itu,” ujarnya. – UTUSAN