KUALA LUMPUR: Pelantikan dua jawatan timbalan Perdana Menteri daripada parti berbeza berkemungkinan besar boleh menyebabkan kuasa Perdana Menteri ‘dikawal’.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib berkata, pelantikan tersebut bagaimanapun penting bagi menjaga kestabilan politik dalam kalangan parti Perikatan Nasional (PN).
Katanya, jawatan lain dalam Kabinet sepatutnya perlu dikekalkan bagi memastikan kesinambungan PN dapat dikekalkan sehingga ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kalau UMNO minta penambahan mungkin semakan semula perlu dibuat melibatkan jawatan menteri kanan.
“Dari segi pembahagian jawatan, UMNO wajar diberi peluang yang lebih kerana mereka ada kerusi yang lebih di Parlimen. Dari segi pengaruh pun UMNO ada lebih banyak daripada Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
UMNO sebelum ini dilaporkan sedang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan memberi syarat baharu melalui perjanjian bertulis untuk meneruskan kerjasama antara dua parti.
Parti itu dikatakan mahu jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio penting dalam Kabinet.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani tidak menolak kemungkinan wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Bersatu dengan perkembangan politik semasa.
“Ada kemungkinan mereka akan sokong Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang ) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Cuma mereka yang tidak puas hati akan terus kekal dalam Bersatu kerana nak elak dituduh gila jawatan. Hanya yang diketepikan yang boleh tentukan hala tuju politik mereka,” ujarnya. – UTUSAN