Pas Kedah kesal fitnah terhadap pemimpin parti - Utusan Malaysia

Pas Kedah kesal fitnah terhadap pemimpin parti

AHMAD YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas Kedah melahirkan kekesalan terhadap hantaran berbaur fitnah dan dakwaan tidak berasas dalam media sosial terhadap pemimpin parti itu baik di peringkat Pusat  dan negeri sejak kebelakangan ini.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya berkata, pihaknya memandang serius perbuatan tersebut yang dikhuatiri mengundang kegusaran dan ketidaktenteraman dalam masyarakat.

“Apatah lagi apabila berita fitnah ini tular tanpa kawalan dalam suasana wabak Covid-19 masih berleluasa.

“Pas Kedah ingin mengingatkan bahawa Allah SWT berpesan agar umat Islam perlu bersikap hati-hati dengan cara meneliti dan mencari bukti yang berkait dengan isu mengenai sesuatu tuduhan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Negara menambah, adab atau sikap yang berkait dengan ‘tabayyun’ ini ditekankan agar masyarakat tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahaskan keaiban dan membahayakan pemikiran. 

“Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran,” katanya.

Menurut Ahmad, pihaknya berharap dalam menerapkan norma baharu kehidupan ketika menghadapi Covid-19, masyarakat juga perlu mengamalkan norma baharu dalam berpolitik.

“Marilah kita mengamalkan norma baru dalam berpolitik dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan. 

“Politik kita tidak terhenti dengan kematian tetapi setiap tindakan akan dihitung dan diberi balasan di hari kebangkitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN