KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai masa depan Muafakat Nasional (MN) terjawab apabila UMNO dan Pas bersetuju untuk mempertahankan dan memperkasa kerjasama politik berkenaan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dalam pertemuan selama hampir dua jam semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah berkongsi citra dan semangat untuk merealisasikan perkara itu.
Beliau berkata, apa sahaja tohmahan dan fitnah yang cuba dilontarkan pihak lawan tidak akan mengagalkan usaha muafakat di antara kedua-dua parti.
“Alhamdulillah pertemuan yang berlangsung selama hampir dua jam penuh dengan semangat ukhuwah dan mahabbah. Kedua-dua pimpinan tertinggi ini turut berkongsi citra dan semangat untuk terus memastikan muafakat UMNO, Pas dipertahan dan diperkasakan.
“Antara kata-kata tuan guru (Abdul Hadi) yang begitu membekas di jiwa saya, UMNO dan Pas adalah tunjang kekuatan orang Melayu dan Islam. Kita kena pastikan tunjang ini terus diperkuatkan demi rakyat dan ummah,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Kenyataan Pas sebelum ini untuk terus bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencetuskan persoalan sejauh mana hubungan kerjasamanya dalam MN bersama UMNO yang mengambil pendekatan berbeza.
Selepas beberapa hari mendiamkan diri, sekutu UMNO dalam MN itu menyifatkan kerajaan PN sekarang perlu diperkasakan dalam usaha untuk menstabilkan negara yang rakyat dan ekonomi sangat terkesan dengan penularan Covid-19.
Malah, pemimpin Pas menyifatkan kepemimpinan MN mahupun PN perlu melakukan sedikit pengorbanan untuk kepentingan bersama dan demi perpaduan Islam. – UTUSAN