Mohd. Rashid boleh dilantik sebagai Ketua Penaja  - Utusan Malaysia

Mohd. Rashid boleh dilantik sebagai Ketua Penaja 

MOHD. RASHID HASNON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon boleh dilantik menjadi Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Batu Pahat walaupun belum mencapai tempoh matang keahlian.

Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian berkata, terdapat beberapa pemimpin telah dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti meskipun belum cukup tiga tahun menjadi ahli.

Katanya, antara pemimpin tersebut ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.

OSMAN SAPIAN

“Kalau tidak dilantik kerana belum cukup matang keahliannya kenapa yang lain boleh? Hamzah Zainuddin pun tidak sampai tiga tahun, begitu juga Abdul Latiff Ahmad.

“Namun perkara itu bergantung kepada budi bicara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf, Awal Persekolahan dan Bank Makanan Yayasan Harapan Pontian di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Bersatu Johor yang tidak melantik Mohd. Rashid sebagai Ketua Penaja Bahagian Batu Pahat.

Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkata, Bersatu memerlukan pemimpin berpengalaman dan berpengaruh untuk menguatkan lagi parti terutama untuk menarik ahli- ahli baharu sertai parti. 

“Kita hendak Bersatu kuat dengan adanya pemimpin berpengalaman dan berpengaruh, tetapi kalau lantik orang baharu yang tiada pengalaman dan pengaruh bagaimana hendak tambah kekuatan parti.

“Saya sokong Rashid Hasnon dilantik jadi Ketua Penaja Bersatu Bahagian Batu Pahat,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial terdapat ahli PKN Johor tidak puas kerana Rashid Hasnon tidak dilantik menjadi Ketua Penaja Bersatu Bahagian Batu Pahat sebaliknya watikah pelantikan jawatan itu diberikan kepada pemimpin Bersatu lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN