SHAH ALAM: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan beberapa rombakan dan penubuhan portfolio baharu antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuk melibatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar, selain mengekalkan portfolio sedia ada, Amirudin memegang portfolio baharu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Bencana berkuat kuasa serta merta.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua turut memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Inovasi & Smart Selangor menggantikan Sains Teknologi & Inovasi.
Dalam pada itu, ADUN Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah yang baharu mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan.
Manakala, ADUN Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal.
Dalam pada itu, rombakan kecil portfolio turut dilakukan melibatkan beberapa pengerusi jawatankuasa tetap lain iaitu Rodziah Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan yang sebelum ini memegang portfolio Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.
Manakala, Hee Loy Sian kini selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal sebelum ini memegang portfolio Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna.
Bagi V. Ganabatirau pula, sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, kini beliau memegang portfolio Pembangunan Sosio-ekonomi, Kebajikan Masyarakat & Pemberdayaan Pekerja.
Amirudin dalam kenyataannya berkata, sebanyak lima portfolio baharu diwujudkan sejajar dengan keperluan semasa negeri iaitu Pembudayaan Inovasi & Smart Selangor yang mana nama asal ialah Sains, Teknologi dan Inovasi dan ditambah komponen Smart Selangor yang baharu diwujudkan.
“Empat lagi portfolio baharu ialah Pengurusan Bencana, Pemberdayaan Pekerja, Perpaduan dan Industri Halal.
“Sementara itu, dua portfolio sedia ada dijenamakan semula bagi tujuan cakupan yang lebih meluas iaitu Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar (nama asal Perumahan & Kehidupan Bandar) dan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam (nama asal Kesihatan),” katanya. – UTUSAN