Covid-19: Pas tangguh semua program rasmi - Utusan Malaysia

Covid-19: Pas tangguh semua program rasmi

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Semua program rasmi Pas ditangguhkan bermula hari ini berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penangguhan itu berkuat kuasa serta merta sehingga tarikh yang akan ditentukan kelak.

Bagaimanapun, katanya, jika ada keperluan untuk menganjurkan sesuatu program maka ia akan dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

“Susulan kes Covid yang meningkat, kami mengarahkan supaya parti menangguhkan semua program umum sehingga mendapat pencerahan daripada Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Marang itu turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin tertinggi parti dan sayap antaranya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di samping Ahli Jawatankuasa, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dan Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki serta Ketua Dewan Pemuda, Ir. Khairil Nizam Khirudin.

Kesemua mereka dilihat tiba di Pejabat Presiden Pas di Masjid Rusila itu kira-kira pukul 10.20 pagi dan selesai pertemuan 30 minit kemudian.

Ketika ditanya adakah pertemuan tersebut turut menyentuh mengenai cadangan pelantikan wakil Pas bagi menganggotai Kabinet atau Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut, sebaliknya menjelaskan parti itu akan terus mengukuhkan hubungan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Insya-Allah kita akan minta diaturkan sambutan ulang tahun Piagam MN dan tarikhnya bakal ditentukan apabila kita berjumpa dengan UMNO,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi mengambil sikap berkecuali susulan tuduhan penyokong Pakatan Harapan (PH) kononnya MN dan PN menjadi punca peningkatan kes Covid-19 di negara ini menerusi penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Kita tidak mahu campur, kita dah menang di Sabah dan langkah selanjutnya akan dibincangkan secara bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN