KUALA LUMPUR: Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menularkan ucapan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya beliau menyokong Parti Warisan Sabah adalah langkah terdesak.
Mohamed Azmin menegaskan, ucapan tersebut merupakan ucapan beliau ketika membantu parti itu berkempen untuk pilihan raya kecil pada Januari tahun ini.
“Saya ingin menegaskan bahawa ucapan tersebut dibuat ketika saya turun ke Kimanis dalam kempen pilihan raya kecil pada Januari 2020 untuk membantu calon Warisan yang merupakan rakan sekutu Pakatan Harapan (PH).
“Penyebaran ucapan tersebut yang diulang semula beberapa jam sebelum hari pembuangan undi Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 membuktikan bahawa Warisan berada dalam situasi yang kian terdesak dan cuba mendapatkan sokongan saya untuk calon-calon Warisan,”katanya.
Rakyat Sabah bakal menentukan kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) yang berlangsung esok.
Sementara itu, Mohamed Azmin percaya sokongan rakyat Sabah terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PN kuat dan kukuh selepas beliau menjelajah dan menyantuni rakyat negeri itu.
“Dalam program-program menyantuni rakyat Sabah, saya dapat merasakan bahawa dukungan rakyat cukup kuat dan utuh kepada Perikatan Nasional dan rakan-rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menuntut perubahan pada hari esok.
“Saya mengajak semua pengundi-pengundi di Negeri Sabah untuk memberikan sokongan yang kuat dan padu kepada calon-calon Perikatan Nasional, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan berlangsung pada hari esok,” ujarnya. – UTUSAN