Shafie mohon maaf atas kenyataan pemimpin Warisan hina anggota keselamatan - Utusan Malaysia

Shafie mohon maaf atas kenyataan pemimpin Warisan hina anggota keselamatan

SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memohon maaf kepada setiap anggota keselamatan, ahli keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan seorang pemimpin parti baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, kenyataan yang dikeluarkan secara spontan telah disalah erti dan sama sekali tidak berniat untuk menghina perjuangan para perajurit dan anggota keselamatan kita yang mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan rakyat dan negara ini.

“Sebagai bekas Timbalan Menteri Pertahanan, saya amat memahami keperitan yang terpaksa ditempuh anggota keselamatan ketika menjaga sempadan negara terutama di pos-pos kawalan Sabah yang terpencil dan serba kekurangan.

“Setiap anggota yang berada di perbatasan bukan sahaja bersedia mengorbankan nyawa demi keselamatan rakyat Malaysia, malah mereka juga terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga sepanjang tempoh bertugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shafie berkata, dalam berdepan pandemik Covid-19, beliau selaku Ketua Menteri Sabah turut memahami dan menghargai peranan anggota keselamatan kita sebagai frontliners menentang musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya.

“Atas rasa tanggungjawab itu saya telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta dana kerajaan negeri untuk diagih-agihkan kepada semua frontliners termasuk RM1 juta kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RM1 juta kepada Kem Lok Kawi. Sumbangan ini tidak dilakukan di mana-mana negeri di Malaysia.

“Jumlah tersebut tidaklah banyak jika dibandingkan dengan risiko dan pengorbanan wira-wira negara ini, namun itu membuktikan komitmen Kerajaan Sabah meskipun agensi keselamatan di bawah bidang kuasa Persekutuan.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya